“Ada mana?”
“Jasin, rumah Hafidz.” Jawab saya sedikit mamai, “Apcer?”
“Tak ada apa, tengok hang macam lama tak online, saja call…”
“Oh, memang tengah puasa online.”
“Sihat tak?” Soalan ini diajukan kerana dia tahu ketidak-stabilan kesihatan saya. Kali terakhir kami berjumpa, dia datang melawat saya di hospital, awal tahun.
“Kena makan ubat la skang, setiap hari…”

Itu perbualan telefon beberapa hari lepas di tahun 2017. Memori kembali berputar kepada tahun 2007, di Annexe, Central Market.

“Aku nak ajak hang berlakon, jadi lead dalam filem indie aku nak direct ni.”
Saya pandang wajah budak Universiti Malaya itu dan ketawa tepat ke mukanya, “Dah gila hang ni.”

Hasilnya, saya menjadi watak utama dalam filem indie absurd pengarah yang kemudiannya menjadi kawan karib saya untuk banyak-banyak tahun mendatang. Mamat tak betul yang panggil saya berlakon jadi hero itu namanya, Razaisyam Rashid dan saya panggil dia, Ely.

Razaisyam Rashid; produser, pengarah filem, penyunting dan peminat berat punk rock.

Kami tak lagi melepak hardcore seperti dulu, sangat jarang berpeleseran sekerap sebelum dia mula busy dengan kerja-kerja filem dan syarikatnya yang ditubuhkan beberapa tahun lepas. Semalam saya dijemput untuk ke pejabat post-productionnya; Technica Post.

Dia menayangkan beberapa hasil kerja barunya yang bakal menemui audience. Ada satu kerjanya untuk ‘TV Premium’ membuatkan saya nampak semula potensi dan kembali nampak budak muda yang datang berjumpa saya sepuluh tahun lepas. Budak muda yang mengekor saya ke gigs-gigs; merakam aksi-aksi stage diving, moshing, mengarahkan beberapa muzik video saya dan Muck, malah Ely pernah mengikut saya ke AIM (Anugerah Industri Muzik) dan kemudian kami crash ke after party sesuka hati. He’s mad, sentiasa on dengan segala aktiviti ‘nakal’ yang saya mahu lakukan waktu itu dan entah berapa banyak acara ‘guerilla’ kami bikin bersama.

Dalam salah satu kerja terbarunya, ada satu scene jiwang, seorang mamat cute bermain gitar dan menyanyikan lagu. Dia memang sengaja mahu saya menonton babak tersebut.

“Ce dengar ni.”
“Budak ni tau ke lagu apa tu?” Tanya saya.
“Tak, aku bagi dan suruh dia buat versi slow akustik.”
Kemudian kami terbahak-bahak sebelum dia menyambung, “nak corrupt minda makcik-makcik tengok TV.”

Lagu itu adalah ‘No Feelings’ oleh Sex Pistols. Muzik punk adalah satu hal penting dalam persahabatan kami dan satu lagi persamaan penting, we both peminat berat Johnny Rotten. Glad to see dia masih tricky dan ada Rotten-ism yang masih hidup.

Dengan masa singkat yang ada sebelum tren saya pulang ke Ipoh, perbualan kami mula masuk hal-hal lebih peribadi tentang life satu sama lain. Saya sendiri lupa bila kali terakhir kami berbual begitu.

Di balkoni pejabatnya sambil remang senja mula berlabuh, melankolia bertandang. Kalau sepuluh tahun dulu saya nampak dia akan jadi filmmaker, dengan segala kuasa Nostradamus yang ada ini, saya lihat dia sedang bina reputasi sendiri yang bakal menggoncang scene filem Malaysiana. Namanya akan sebaris dengan lagenda-lagenda filem yang kita ada. Percayalah, saya telah tilik perkara ini.

Budak Kota Bharu di depan mata saya ini masih belum lupa daratan. Lawak bodohnya tetap sama, masih menikam dan dia masih merayakan lawak kutuk-mengutuk antara kami seperti the old days. Membuat kelakar tentang kebodohan satu sama lain adalah kemahiran kami.

Dalam perjalanan pulang, saya tak henti berfikir tentang evolusi-evolusi yang dilalui Ely. Saya melihat sendiri dia belajar menyunting filem, direject, diulang sunting, mengarah di sana-sini, selepas filem arus perdana pertamanya pun–dia masih struggle dan sejak daripada pertama kali saya berjumpa dia dulu hinggalah melangkah keluar dari Technica Post semalam, dia tak pernah sekali pun berhenti.

Dan saya harap dalam keghairahan arus perdana, Ely sentiasa tak lupa, dia pernah beritahu saya dulu, “Aku nak jadi Spike Jonze.”

2 thoughts on “Rotten-ism Razaisyam Rashid

Leave a Reply

Your email address will not be published.