Foto di atas dirakam oleh Ili Farhana, beberapa minggu lepas di sebuah forum. Kami bertiga adalah antara panel yang terlibat membicarakan tentang beberapa topik berkaitan ‘DIY’ (Do It Yourself). Perkara yang sentiasa menjadi kegemaran utama saya selain youth culture dan gerakan-gerakan kreatif.
Gigabyte otak saya tak boleh hendak ingat bilakah kali terakhir berjumpa dengan Faris dan Bront. Mungkin makan tahun lamanya tak bertemu.
Kedua-duanya saya kenal banyak-banyak tahun dulu. Faris ketika era pre-Tapau, saya waktu itu aktif bermain band dan Faris selalu kelihatan di gigs-gigs underground. Dia kemudiannya menawarkan saya untuk turut serta ‘berlakon’ dalam rancangan ‘The Hoppers dan Ahli Muzik’ yang disiarkan di 8TV.
Saya mula lebih rajin melepak dengan Bront kerana dia sepatutnya menjadi Syd Jamal iaitu watak utama novella saya, ‘Anarki di Kuala Lumpur’ (karya yang kini telah diharamkan KDN) yang sepatutnya menjadi sebuah filem. Skripnya telah saya tulis separuh dan entah apa jadi prosesnya terbengkalai hingga kini.
Apa persamaan kedua-dua lelaki ini selain kejambuan mereka?
Lelaki-lelaki mega kool ini mengepalai dua buah web penting budaya pop Malaysia; Tapau dan The Daily Seni. Ini kerja-kerja ‘amal jariah’, ini bukan hal yang mudah, ia memerlukan satu azimat penting yakni, passion.
Passion macam iman dan band nasyid hip; Raihan cakap, ‘iman adalah mutiara’. Kita tak akan pernah nampak iman spiritual dalam apa jua bentuk tetapi kita sedar ianya ada dan membawa kebaikan. Begitulah juga halnya dengan iman passion ini yang tak dapat dizahirkan tapi kita jelas alert yang keimanan ini membawa kita ke level yang lebih baik.
Iman spiritual dan iman passion ini kedua-duanya ghaib, tak nampak dengan mata kasar. The only iman yang saya mampu nampak jelas dengan dua biji mata ini ialah dua orang wanita cun yang saya kenali; Imaan dan Iiman. Seorang amoi arkitek intelek asal Melaka dan seorang cewek kacuk Malaysia-Indo-Belanda.
Sepanjang seminggu ini, terma ‘Wannabe True’ mulai popular setelah keluarnya artikel yang saya tulis; ‘True dan Wannabe True’. Ramai teman-teman mulai faham dua perkara yang nampak macam sama tapi sebenarnya jauh panggang daripada microwave.
Menjadi true dipenuhi berahi passion dan mencintai kebersamaan adalah nilai-nilai yang perlu diangkat.
Faris dan Bront mempunyai ciri-ciri ini, kita perlukan lebih ramai Faris dan Bront untuk scene yang lebih unggul ada extra kick. Si jambu berdua ini sudah pasti sangat tahu yang web mereka itu tak mampu menjanjikan sebuah rumah di atas bukit atau di tepi pantai. Tapi mereka juga sangat jelas mengetahui, web mereka bernilai lebih daripada itu. Bukan dalam bentuk wang ringgit RM moolah, tapi hanya yang passionate akan tahu.
Nampak benar mereka berdua mempunyai keimanan yang tinggi. Kalau daripada segi agama sudah layak tergolong dalam golongan-golongan warak.
Kawan-kawan yang dikasihi, sambil do it yourself, do it with passion, as well. Yakinlah, hanya itu membezakan kita dengan mat-minah poyo yang tak henti-henti komplen tentang bos, gaji tak naik, sistem syarikat tak betul, punch card-awal-kemudian-ngopi dulu dan tabiat-tabiat redneck lain yang menyusahkan.
Kerja dengan penuh passion dan pride.
Saya sangat percaya, jika Ahmad Faris dan Bront Palarae tak mempunyai passion tinggi, kedua-duanya boleh saja blah angkat kaki dan fokus hanya pada diri sendiri. Tetapi bak kata The Loneliest Scenester in Jasin, orang-orang begini dah ‘damaged’ dan tiada jalan berpatah balik lagi. The Loneliest Scenester in Jasin dah damaged, Adam pengasas PBUY dah damaged dan apatah lagi Yours Truly yang memang terang-terangan extra damaged.
No problem gang, kita semua damaged yet beautiful.