IPOH HIPSTER CITY

Ada usul yang hendak saya promosikan kepada orang ramai yang berada di Ipoh, yang gemar atau mahu ke Ipoh.

Ipoh tak lagi digelar sebagai ‘Ipoh Rock City’ seperti pertengahan 90an hingga ke pertengahan noughties (cerita lain: ini semua gara-gara berkah ritual gerakan muzik underground dan independent yang menggila di era itu), sebaliknya gelaran baru adalah ‘Ipoh Hipster City’.

Di mana-mana serata kota ini sekarang dipenuhi dengan muda-mudi yang pandai berfesyen, berambut pomade, bergaya dan mempunyai citarasa diverse daripada muzik, sastera, filem hinggalah ke makanan yang mana ia bukanlah satu perkara yang pelik kerana youth di Ipoh sedari azalinya memang sudah terdedah dengan pebagai sub-budaya sejak berpuluh tahun lepas dan terkenal mempunyai taste.

Ipoh kini sebuah pekan tua yang mengancam. Kata omputih, macam old wine, makin lama makin sedap.

Tahun lepas, Lonely Planet telah membuat penilaian mereka sendiri tentang Ipoh; berada di tempat keenam destinasi menarik di Asia dan tempat kesembilan destinasi yang harus dilawati pada 2017.

Sebagai orang Ipoh sebenar, saya turut kembang pungkoq dengan penilaian tersebut, cuma yang tak menyenangkan saya sedikit kerana ianya hanya tentang Oldtown. Jangan terkejut dulu, Oldtown Ipoh memang menarik, antara tempat kegemaran saya sendiri secara peribadi, tetapi bandar ini bukan hanya sekadar Oldtown. Saya fikir, jika Lonely Planet melihat lebih daripada Oldtown, mereka pasti lebih terkejut beruk dan pasti kedudukan Ipoh dicarta mereka itu lebih baik.

Mereka tak bercerita tentang Newtown, tak menulis tentang seni-budaya, kolektif-kolektif DIY yang berlambak-lambak di dalam Ipoh dan obviously mereka tak mengetahui tentang Noor Jahan Bakery yang mempunyai donut paling sedap in town.

OLDTOWN & NEWTOWN

Oldtown dan Newtown Ipoh dipisahkan Sungai Kinta, sebatang sungai betul-betul di tengah pekan.

Di Oldtown terletaknya Sekeping Kong Heng, Yasmin Ahmad Museum, Burps & Giggles, Nellis Deli dan entah berapa banyak kafe dan ruang-ruang bebas lagi. Di sini juga letaknya spot-spot menarik yang selalu kita lihat di merata-rata Instagram, kerana ia dipenuhi bangunan-bangunan lama tinggalan kolonial. Bangunan buruk yang dijadikan kafe, boutique hotel, kedai kopi dan ada dinding-dinding rotten dipenuhi grafitti juga street art.

Di kawasan ini juga terletaknya Stesen Keretapi Ipoh yang dibina dengan gaya Edwardian Baroque serta digelar ‘Taj Mahal Ipoh’, di hadapannya adalah Masjid Negeri Ipoh bersebelahan Birch Memorial Clock Tower. Di menara inilah tempatnya dua minggu sekali setiap petang Ahad dimana satu gerakan aktivis; Dapur Jalanan Ipoh memberi makanan percuma kepada para homeless dan yang memerlukan.

Little India juga terletak di daerah ini, lokasi the best Nasi Daun Pisang, vadey dan makwe India lawa.

Sin Yoon Long, kedai kopi tempat asalnya kopi putih yang sangat popular itu juga berada di Little India. Ia bukan kool hipster kafe, tetapi sebuah kedai kopi lama yang kerap dipenuhi apek-apek dan nyonya-nyonya. Jika mahu menikmati rasa sebenar kopi putih, inilah tempatnya. Boo kedai kopi francais poseur.

Pasti ramai orang tahu tentang the mega famous Nasi Ganja Yong Suan; nasi kandar paling terkenal di Ipoh. Ini ada satu rahsia, untuk orang Ipoh sejati, nasi kandar paling authentic dan best kept secret adalah Nasi Kandar Pekan Lama berhampiran flat Kinta Heights juga berdekatan Little India.

Oldtown ‘hidup’ daripada awal pagi hingga ke lewat petang. Malam di Oldtown biasanya agak sepi melainkan kafe Miker yang happening terletak di Padang Ipoh dan mungkin pemabuk-pemabuk di Sinhalese Bar meracau-racau sana-sini.

Oleh kerana itu, saya menyarankan hadirin umat manusia sekalian ayuhlah berpusu-pusu ke Newtown apabila malam berlabuh. Inilah usul yang ingin saya suarakan.

Di Newtown terletaknya segala kegembiraan waktu malam; Chokodok Reggae House, Khizanat, Insider Satellite, Konda-Kondi, Hello Elvis, Gerbang Malam, Kolek, Bodysurf Music, Restoran Naina Mohamed dan segala para hantu setan. Tak lupa pada mat pet, pekerja seks dan para pondan di Wallercourt dan Jalan Yang Kalsom.

Newtown bukan hanya aktif di waktu malam. Ada juga yang buka pintu sejak awal pagi dan siang seperti PeaceBeUponYou, Debut Scissors, Noor Jahan Bakery, TKK (Lai Chee Kang Ah Yoong sangat disarankan di sini), Nasi Ayam Fuziah, Cathay Mee Stall, Restoran Majeedia, Loken (pasar karat terbesar di Malaysia setiap pagi Ahad) dan ganja kegemaran semua; Nasi Ganja Yong Suan.

Saya memilih Super Kinta sebagai tempat favorite membawa wanita cantik bohemian dan chic bersiar-siar. Di situ setiap pagi terdapat pasar karat menjual bermacam-macam antik dan second hand serta paling penting kedai-kedai bunga. Sebagai seorang Mat Bunga tegar, saya nobatkan Super Kinta sebagai tempat yang hukumnya wajib untuk dikunjungi bagi menikmati bunga warna-warni dan bauan harum yang potensinya agak tinggi mencairkan sanubari kaum hawa.

Dengan bau pasar basah ikan daging ayam dan kopi belum digiling yang sekali-sekala menerpa hidung, ia tempat perfect untuk jatuh cinta. Macam cinta itu sendiri tempting dan adakalanya haprak.

Newtown adalah the new Oldtown.

JALAN SULTAN IDRIS SHAH

Jalan Sultan Idris Shah di Newtown mengikut tilikan saya bakal menjadi tempat sensasi dan hip para muda-mudi.

Baru beberapa malam saya melepak di situ, entah mengapa buat saya terasa kembali muda dan seakan kembali ke awal 20an. Ini benar-benar mengejutkan saya, jampi serapah apa dipakai oleh budak-budak yang menghuni kedai-kedai di jalan ini?

Adakah kerana gaya rambut eccentric Zaf yang bikin saya kembali rasa remaja? Ini sangatlah misteri.

Siapakah Zaf ini? Zaf adalah susuk terkini yang mainkan peranan penting dalam senario subculture Ipoh. Seorang tukang gambar handalan, penjaga PeaceBeUponYou store dan pembaca Lautréamont. Bukan senang membaca sastera Perancis sambil ingin mengetik foto, tetapi Zaf boleh.

Malam tadi di dalam kedai PeaceBeUponYou, kami ahli majlis tertinggi syura kolektif Ipoh sepakat mengetepikan Adam Jalaludin dan Ooi, mereka berdua bukan lagi Bapa Hipster Ipoh. Tiada siapa peduli lagi tentang Adam dan Ooi, kita semua adalah Zaf. Apa yang Zaf buat semuanya betul dan benar belaka.

Jadi datanglah ke Jalan Sultan Idris Shah membeli-belah, habiskan RM di kedai-kedai berhampiran dan carilah Zaf; definisi baru hipster sebenar.

Kita di Ipoh ada pilihan melepak untuk nampak ‘in’; Oldtown, Newtown atau Zaf.

One thought on “Romantik Oldtown dan Newtown Ipoh

Leave a Reply

Your email address will not be published.