Topik forum ini amatlah besar dan berat untuk dibincangkan. Namun setiap perbincangan tetap juga berat dan membuatkan kita jangan malas untuk berfikir. Bercakap mengenai scene adalah seperti menyelesaikan sebuah soalan matematik yang diberikan dan memerlukan formula untuk mendapatkan jawapan. Maka begitulah perbualan mengenai industri muzik di bandar Ipoh.
Berborak mengenai kebersamaan membawa erti dalam bahasa Inggeris ‘unity’. Terma ini sering digunakanakan oleh generasi aktivis-aktivis scene dahulu dengan melaungkan slogan’unite’. Satu laungan yang cukup signifikan dan satu simbolisme kepada semua aktivis scene untuk meraikan kepelbagaian.
Kata kunci utama kepada forum ini adalah mengenai jumlah penonton yang hadir. Apabila berbual mengenai industri muzik di bandar ini, kita akan peka terhadap tiga perkara utama iaitu:
Tiga perkara berdasarkan gambar di atas menunjukkan korelasi hubungan yang meletakkan kebergantungan antara satu sama lain. Saya bersetuju dengan kenyataan Adam Jalaludin bahawa band harus memainkan peranan yang cukup penting sebagai ‘crowd puller’. Tidak perlukan sihir pelaris jurus seperti bomoh Degawan, promosi adalah perkara yang paling utuh yang perlu ditekankan. Penghasilan ‘material’ dalam bentuk cakera padat, kaset dan piring hitam amat penting dalam memperdengarkan sesuatu karya kepada crowd yang berada di luar bandar Ipoh. Pemasaran tidak boleh diletakkan di bahu pihak organizer semata-mata dan kita semua akan mengadu bahawa industri muzik sepertinya jatuh kerana ketidak hadiran crowd yang ramai. Band seharusnya menjadi sebuah ‘branding’. Maksud saya di sini apabila menyatakan band seharusnya menjadi sebuah branding adalah memberi sebuah angapan band adalah sebuah material. Misalnya, mempromosi single, ep atau demo sekalipun di Bandcamp, Spotify, Soundcloud dan lain-lain lagi.
Konsep alienisasi di Ipoh masih terlalu menebal dengan pelbagai scene yang wujud kelihatan sukar untuk berasimilasi bersama. Saya faham mengenai persoalan bagaimana cita rasa itu memainkan peranan yang sukar. Satu formula ‘cross disciplined’ adalah perkara yang patut kita raikan perbezaan secara ketara. Misalnya band hardcore punk bermain di acara sajak mellow-berat atau label-label t-shirt lokalah menghasilkan baju untuk band tersebut. Jika diambil dari sudut perniagaan, risikonya amat besar dari segi penjualan disebabkan nama band tersebut. Namun ianya tetap berbalik kepada soal promosi sesuatu band tersebut dengan menghasilkan material seperti yang saya sebutkan di atas. Hemat saya sendiri, ‘popular culture’ tetap menang dalam banyak hal. Namun populariti di sini bukanlah saya maksudkan artis seperti Jom Heboh mahupun majalah Mangga yang biasa dilihat di media arus perdana. Namun penyampaian mesej walaupun daripada band yang berunsurkan jeritan beberapa harkat harus disampaikan secara menyeluruh kepada umat manusia. Berbalik kepada band, jeritan-jeritan mesej radikal masih lagi di takuk rakan-rakan yang sama hadir ke gig. Masalah atau tidak, kebergantungan utama adalah terletak pada band itu sendiri bagaimana hendak membawa nama band itu sendiri. Seperti mana keterujaan kita melihat Wormrot, The Saddest Landscape ataupun Mono yang mendayu-dayu seperti itu juga band harus sedar akan kekuatan yang boleh ditekankan sehingga ke tahap yang semaksima yang boleh.
Di Ipoh, jenama-jenama pakaian seperti Seducers and Sinners, Comme atau PeaceBeUponYou misalnya, band seperti EF’IL, Radiowave, In Believer, penyajak seperti Jack Malik, Meor Hailree dan beberapa pelukis jalanan yang ada di Concubine Lane telah mengimpikan saya betapa pentingnya landskap pembangunan kebudayaan di bandar ini. Jika di 80an ada komuniti seni yang wujud di Kuala Lumpur seperti yang kita boleh lihat di dalam filem Kembara Seniman Jalanan atau filem Mat Som dengan ketekunan terhadap sajak di kota besar itu, apakah kita tidak mampu dan tidak sedar mampu kita mengubah sebuah bandar tua ini kepada sebuah bandar yang meraikan segala bentuk kebudayaan? Secara tidak sedar, para pengkarya di bandar Ipoh ini adalah arkitek kepada pembangunan kebudayaan di Ipoh.
Acara-acara gig, festival dan segala bentuk rakaman adalah satu bentuk dokumentasi penting. Sudah pasti akan dirujuk 10 dan 20 tahun kemudian oleh generasi baru kemudian menjadi pengaruh penting kepada beberapa band, organizer dan crowd generasi yang baru. Melihat hubungan ketiga-tiga aspek ini, pergerakan harus konsisten agar momentum terhadap generasi baru akan diikuti secara berterusan. Misalnya konsep datang lewat ke acara gig walaupun dinyatakan acara akan bermula pada sekian waktu. Sebagai penonton yang hadir ke acara gig, saya faham bukanlah mudah untuk pihak organizer dan band menepati masa. Namun kedua-dua pihak ini harus meletakkan kebersamaan dalam komunikasi iaitu menghormati masa. Masa crowd oleh pihak organizer, masa band oleh pihak organizer dan masa organizer oleh pihak band. Perkara untuk hadir lewat ke gig seharusnya tidak menjadi suatu perkara yang lumrah. Apa yang saya katakan tadi, hanyalah sebuah konsisten dari dari kedua-dua pihak untuk mewujudkan momentum agar generasi baru dapat mengikuti norma budaya positif yang diamalkan. Anggaplah ia sebagai sebuah pendedahan tanpa menganggap ianya perkara yang remeh-temeh. Namun promosi, adalah perkara utama sebagai ‘crowd puller’ agar crowd hadir dalam jumlah yang ramai. Kerana vokalis yang menjerit memandang si pemain dram dan di juga di kalangan sahabat handai sebagai crowd, tidak membantu untuk mesej lirik-lirik yang dihasilkan itu sampai ke telinga-telinga luar dari lingkungan kita sendiri. Analoginya mudah bagi yang pernah menonton band seperti Masdo dan The Pinholes di Ipoh. Kedua-duanya bercorak easy listening namun bagaimana dengan jumlah penontonnya? Atau bagaimana dengan crowd Ramayan yang cukup ramai mengerumuni Khizanat Hall tempoh hari? Atau bagaimana bagaimana Wormrot dengan crowd yang cukup ramai hadir menonton persembahan mereka di Obscene Extreme Fest dan mendapat liputan persembahan melalui BBC pada tahun lepas?
Turut tidak terlepas juga satu perkara, di mana isu waktu gig yang kerap diadakan pada waktu malam pada setiap hujung minggu yang dipelopori oleh rata-rata organizer. Pendapat Raja Azrul beliau mengatakan begini bahawa disebabkan crowd yang tidak ramai yang hadir dan disebabkan kos, maka beliau terpaksa berjimat dengan mengadakan gig pada waktu malam. Faktor itu mungkin disebabkan kiraan sewa oleh pemilik tempat acara berdasarkan waktu siang yang dkira perlu sewa selama satu hari manakala sewa pada waktu malam dikenakan caj selama setengah hari. Jadi secara tidak langsung harganya menjadi lebih murah, berdasarkan jumlah ramalan crowd yang hadir pada kebiasaannya. Kesimpulannya. Tiga perkara utama ini adalah melibatkan kebergantungan yang cukup tinggi antara masing-masing dalam menggerakan ekosistem industri muzik di bandar ini.