Ada yang membincangkan sesuatu filem itu berdasarkan estetika yang terdapat dalam filem itu. Dari segi falsafah dan teknikal, ia adalah spektakular yang diambil bincang dalam memperincikan lebih mendalam isi kandung filem itu. Namun soal mengkategorikan filem itu cerdik atau tidak, filem cerdik untuk penonton cerdik, filem kurang cerdik untuk penonton yang kurang cerdik, ia adalah sesuatu bentuk pemisahan kelas masyarakat yang nyata. Dalam satu sinema, apakah kesemua penonton itu mahu menganalisis filem itu secara terperinci atau sekadar mahu melayan sebagai bentuk hiburan?

Saya teringat akan satu polemik di mana hujah ‘Seni Untuk Seni’ melawan ‘Seni Untuk Masyarakat’. Congak mudah ialah, bagaimana hendak membentuk pemikiran masyarakat jika karya itu cantik atau tidak. Kita fikirkan satu senario di mana seorang buruh yang bekerja selama 12 jam mengikut shift waktu. Baki masanya mempunyai 12 jam untuk sehari aktiviti hariannya. Minima bagi tidur yang sihat adalah sekitar 6 jam. 2 jam untuk menyiapkan diri mandi, bersarapan dan pergi ke tempat kerja tanpa lewat. Bakinya cuma tinggal 4 jam untuk aktiviti sendiri. Bagi yang berkeluarga, harus mempunyai sedikit masa untuk memberi perhatian kepada pasangan masing-masing dan anak-anak. Manakala bagi kaum bujang, setidak-tidaknya sajian televisyen, radio, Youtube atau Netflix misalnya boleh jadi perantara untuk melunaskan waktu lapang. Namun, apakah 4 jam itu benar-benar berkualiti bagi mereka yang bujang dan berkeluarga itu? Apakah dalam tempoh masa 4 jam berehat itu menonton filem yang berat dan sarat dengan pelbagai isu itu mampu membuatkan seorang buruh itu berfikiran kritis? Terpulang. Ada yang gemar menonton filem-filem ringan dan picisan. Padanya, cukup sahaja menjadi perantara escapism untuk menghilangkan rasa bosan dan tekanan dari waktu bekerja. Untuk mengatakan suatu filem itu cerdik untuk penonton yang cerdik atau filem tidak cerdik untuk penonton yang tidak cerdik, saya tidak tahu filem itu telah menelan berapa banyak vitamin dan kismis minda cerdas. Namun jika difikir kembali, apakah filem itu dimiliki oleh golongan pemikir kritis sains kemanusiaan semata-mata? Secarara tidak langsung apabila filem diklasifikasikan seperti ini, maka pemisahan kelas masyarakat turut juga berlaku antara golongan buruh dan pemikir dalam satu panggung sinema.

Futej oleh Mohd Syazani

Saya bersetuju dengan Sani Sudin[1] bahawa membaca itu boleh menjadi mendengar dan melihat. Apakah dalam bodoh (baca: tidak cerdik) tidak ada pandai dan pandai (baca: cerdik) tidak ada bodohnya? Filem Anak Mami, Mami Jarum dan Mami Jarum 2 yang dihasilkan oleh Razak Mohaideen mungkin kelihatan picisan dengan lakonan yang mempunyai telo Pulau Pinang serta watak Shiqa (Vanidah Imran) yang memilih lelaki berusia untuk berkahwin dan sanggup memilih untuk menjadi isteri kedua serta diselitkan jenaka Arwah Piee yang bersikap pesimis yang mengingatkan isterinya (Sheila Mambo) untuk hidup bersederhana sahaja? Bagi filem Mamat Khalid seperti Hantu Kak Limah, Mat Nor Khusairi & The Velvet Boys misalnya yang diselitkan dengan jenaka-jenaka telo Perak seperti Zami Ismail dan Man Kadir, banyak merungkai tentang isu-isu sosial masyarakat Melayu di Kampung seperti kepercayaan terhadap hal-hal misitik, persahabatan, budaya mengumpat sesama warga kampung di warung dan lain-lain lagi untuk dibincangkan.

Kesimpulannya, karya-karya yang dianggap picisan atau tidak, cerdik atau sebaliknya, tetap juga mempunyai isu yang boleh dikupas. Walau betapa beratnya isu sosial yang dikatakan  dalam filem tersebut namun apabila unsur-unsur humour berada di dalam filem itu, ia mampu membuatkan penonton untuk ketawa. Setidak-tidaknya, ia memberi pengadilan kepada golongan bawahan untuk melupakan seketika hal-hal kesempitan hidup dan kerja serta bagi golongan pemikir, mereka boleh mengulas tentang apa yang terkandung dalam filem tersebut. Akhirnya, yang menyatukan antara kelas masyarakat dalam satu sinema adalah unsur-unsur humour.

Humour is justice.


[1] Wawancara Sani Sudin bersama Astro Awani yang tersiar di Youtube berjudul ‘Hidup Ini Tidak Pernah Siap

Leave a Reply

Your email address will not be published.