Rumah S.O Husain adalah masa depan dunia art Ipoh. Di sinilah revolusi terjadi.
Teratak Nuromar adalah port yang sering saya kunjungi selepas si pengkritik seni dan sastera; S.O Husain dan isterinya, kurator disegani; Nur Hanim Khairuddin mencemar duli ke Bodysurf Music, berbelas tahun lepas.
Di ketika itu, Nur Hanim Khairuddin antara orang penting yang menjalankan Rumah YKP (boleh dikatakan ruang alternatif terawal di Ipoh) diasaskan oleh budayawan; Raja Ahmad Aminullah.
Kami geng-geng Bodysurf mengunjungi setiap acara di YKP dengan niat murni yang satu; menghargai makanan percuma yang sentiasa terhidang di atas meja. Makan dulu, art kemudian.
Tahun makan tahun, saya akan sentiasa berulang-alik ke Teratak Nuromar setelah YKP tutup pintu. Kedatangan saya itu semata-mata berbual dan mencuri apa yang ada dalam kepala S.O Husain dan Nur Hanim Khairuddin; ini dua orang saya nobatkan sebagai suami-isteri paling kool dalam Kool List saya.
Sejak kecil lagi, saya telah didedahkan dengan art secara tak langsung oleh keluarga. Jika sebelum ini saya menganggap munculnya saya dalam scene kreatif hanya sebagai pemuzik indie rock yang gemarkan noise dan experimental, selepas sessi demi sessi di Teratak Nuromar, saya lebih mula berminat membentuk dengan lebih teratur potensi-potensi saya yang lain. Tanpa saya sedari.
Di Rumah YKP dan Teratak Nuromar juga tempat saya bersua dengan ramai nama-nama besar scene art. Kami geng Bodysurf pernah dimarahi oleh Sasterawan Negara; Muhammad Haji Salleh berbelas tahun lepas di satu acara di YKP, mungkin kerana kami membuat bising atau kerana performance kami yang melanggar tatasusila art dan kami tak mengenali susuk lagenda itu, kami fikir, kami hanya dimarahi oleh seorang pakcik yang sedang cranky.
Scene art Ipoh telah melalui pelbagai evolusi sejak berpuluh tahun lepas. Saya melalui fasa bersama Bodysurf Music hinggalah Projek Rabak, semua ini saya lalui dalam masa sekurangnya 20 tahun. Semuanya priceless dan belum ada tanda-tanda yang saya mahu full stop dalam masa terdekat dan saya melihat ramai muka-muka baru yang berpotensi besar makin hari muncul dan sedang ligat melakukan pelbagai aktiviti.
Baru-baru ini, scene art melalui satu lagi evolusi dengan munculnya PBUY Store dan Rumah Karya (yang fokus terhadap tayangan, forum dan apa saja berkaitan filem). Idea-idea baru mula bertemu dengan semangat-semangat lebih segar. Seolah-olah segalanya kembali refresh dan demi Tuhan, ianya sangat interesting.
Dikalangan artis dan seniman di Ipoh juga sejak dua menjak ini sering berbincang tentang masalah antara komuniti yang banyak di Ipoh tetapi jarang berkolaborasi antara satu sama lain. Ada kolaborasi yang terjadi tetapi tak cukup banyak untuk menghasilkan impak atau sesuatu yang mengancam.
Menyedari akan hal itu, kami mula mahu ambil advantage atas apa yang kami ada di Ipoh, yang sepatutnya telah lama terjadi.
Malam Tahun Baru lepas, macam biasa, Teratak Nuromar menjadi port kami melepak ber-BBQ. Antara yang hadir adalah Abror Rivai (pengarah filem), Dr. Kamal Sabran (artis avant-garde kultus / Space Gambus Experiment), Meor Shahiran (The Godfather of Ipoh Indie / Bodysurf Music / Muck), Adam Jalaludin (designer / PeaceBeUponYou), Nazir Harith Fadzilah (pemikir / Tintabudi) dan ramai lagi yang tak keluar di minda saya ketika ini.
Nama-nama ini adalah usual suspects dalam scene art di Ipoh, bukan asing dan bukan baru. Gebang punya gebang, borak punya borak dan kami mencapai satu kesepakatan secara tak langsung. Ada sebuah projek yang bakal berlaku dan ia mampu memulakan sesuatu yang lebih menarik untuk scene art di Ipoh secara khususnya.
Saya suka untuk mengambil semangat French New Wave, Hong Kong New Wave dan juga No Wave sebagai satu pedoman. Ipoh New Wave ini hanya gelaran suka-suka untuk menambah perisa, untuk nampak hip serta kool dan saya lihat ia mampu dikapitaliskan jika dicetak di atas t-shirt.
Ini adalah usaha untuk menyuntik sesuatu yang menarik untuk recharge semula scene kami di Ipoh. Satu tindakbalas dan reaksi atas forum-forum dan sembang-sembang kedai kopi. Sebuah direct action untuk scene art yang lebih mempesona.
Tapi jangan lupa, korang baca tentangnya di sini dulu sebelum satu hari nama ini muncul di Wikipedia, ha ha ha.