Futej di perpustakaan Universiti Malaya

Menulis tentang kegembiraan adalah satu proses penerokaan bagaimana hedonisme (baca:kegembiraan) itu wujud dalam setiap diri peribadi dan anggota masyarakat itu. Menulis tentang kegembiraan, adalah satu pandangan yang cukup subjektif. Jika diberi pilihan untuk memilih pasangan, buku, cita rasa filem, lagu atau makanan, sudah pasti individu bernama A, B, C dan D mempunyai cita rasa yang berbeza dalam membuat pilihan. Subjektif bukan? Ya soalan paling sukar adalah menanyakan diri kau “nak makan apa dan makan di mana?”

Melihat sudut pandang Epikurus Terhadap Kegembiraan

Mengambil pandangan ahli falsafah Greek, Epikurus sebagai pengukur kepada persoalan apakah kegembiraan, kita menilai dari sudut perhubungan peribadi terlebih dahulu dalam kerangka hubungan romantis. Dalam konteks ini, Epikurus melakukan kritikan bahawa dalam soal perhubungan peribadi antara jantina berpasangan, harus dinilai dalam konsep persahabatan berbanding satu perasaan romantis. Apabila Epikurus menilai apakah perhubungan romantis itu akan mewujudkan kegembiraan secara maksimum, ianya ternyata tidak sama sekali. Epikurus melihat secara empirikal di mana ramai orang yang berada di sekelilingnya terlalu berasa suram apabila perhubungan romantis itu timbul. Lalu, Epikurus menjustifikasi kegembiraan dalam perhubungan romantis adalah melalui persahabatan. Selain perhubungan, Epikurus turut juga mengutarakan soal kebahagiaan dari segi pekerjaan yang dilakukan itu sama lebih relevan untuk memakan gaji atau bekerja sendiri dan disamping pendapatan yang diperolehi terhadap seseorang itu.

Sahabat dan Hubungan Romantis

Dalam soal persahabatan, apakah pemilikan perasaan itu dapat diperolehi oleh antara satu sama lain? Epikurus sama sekali menyatakan bahawa kebahagiaan itu muncul apabila kita lebih kerap menemui sahabat berbanding pasangan. Tetapi dalam penilitian perhubungan antara sahabat dan pasangan, andaikan keakraban itu dalam formula mengira kelajuan:

Apakah semakin jauh jarak dan kekerapan masa berjumpa yang jarang menyebabkan tidak banyak permasalahan yang timbul atau semakin dekat jarak dan kekerapan masa yang menjadi rutin akan timbul lebih banyak permasalahan?

Jadi sudah tentu melalui hubungan fizikal antara manusia untuk menilai keakraban itu boleh kita katakan terpakai melalui formula kelajuan Speed: distance/time Jadi melalui sahabat atau perhubungan romantis, menilai sudut pandang Epikurus antara sahabat atau sekadar pasangan, sudah tentu sahabat sudah mengenali perlakuan sebenar di luar dan di dalam perhubungan berbanding ‘sekadar pasangan’ romantis yang hanya dinilai berdasarkan perilaku tertentu oleh pasangannya yang dilihat secara zahir. Ahli falsafah Poland, Arthur Schopenhauer mengatakan cinta adalah suatu perkara yang gila. Kerana nafsu membuatkan manusia menjadi gila lalu apakah pasangan yang dipilih itu sama ada bersandarkan personaliti yang ideal atau sekadar memenuhi lumrah tuntutan hidup sebagai manusia?

Kewangan     

Epikurus menganalisa bahawa kewangan bukanlah satu faktor dalam memberi kegembiraan terhadap manusia. Teori Pengasingan yang dianjurkan oleh Karl Marx menyatakan bahawa masyarakat perlu sedar apakah setiap pekerjaan yang dilakukan itu difahami oleh diri setiap pekerja itu dan apakah sumbangannya pada masyarakat? Secara harfiah, apa yang kita berikan kepada majikan adalah masa dan ditukar gantikan kepada bebanan kerja kepada pekerjanya. Sejauh mana jumlah tenaga yang diberikan kepada majikan boleh diukur kepada formula Power: Work/Time.

Andaikan jumlah tenaga itu didasari kepada gaji yang diterima oleh pekerja. Apakah ianya berbaloi dengan bebanan kerja dan masa yang diperuntukkan? Misalnya gaji seorang pengawal keselamatan yang berjumlah RM 1500 dengan jumlah masa 12 jam diperuntukkan setiap hari tanpa cuti, apakah pekerjaan itu berbaloi dengan dengan jumlah masa dan gaji yang diterimanya itu untuk firma tersebut?

Persoalan dalam konteks pekerjaan dan kewangan, apakah kebahagiaan itu bekerja menerima duit pada hujung bulan dan menyelesaikan bil dan hutang dengan masa minima yang diperuntukkan selama 8 jam atau bekerja sendiri dengan mempunyai masa yang cukup fleksibel? Dalam hal ini, Epikurus menilai dalam sudut kebahagiaan tersebut bahawa kebahagiaan manusia itu wujud apabila wujudnya satu kelompok kecil dan masing-masing diantaranya melakukan pekerjaan sendiri seperti bercucuk tanam, membuat karya-karya seni, memasak, berniaga dan pelbagai lagi di dalam satu tempat yang sama.

Namun, segala hal tersebut terpulang kepada diri seseorang itu apakah nilai dirinya rela untuk ditukar dengan kerja dan masa yang diperuntukkan oleh majikan atau menguruskan masa dan kerjanya secara bersendirian. Dalam zaman ini, hal kewangan turut memainkan hal yang cukup penting untuk membiayai keperluan dan kehendak seperti buku sekolah, beras, ubat-ubatan atau untuk memperolehi barang kehendak seperti piring hitam dan kaset Bleach oleh Nirvana, Kill Em’ All oleh Metallica dan pelbagai lagi.

Aku percaya mempunyai pilihan itu sendiri merupakan satu benda yang boleh membuatkan manusia bahagia. Jika kau ada duit, kau mampu pilih sama ada mahu hidup kaya atau hidup miskin atau hidup sederhana. Jika kau memilih hidup miskin dan sederhana, kau tidak akan gelebah apabila orang mengutuk atau menilai kau. Tapi kalau tidak ada duit, kau tidak ada pilihan melainkan untuk hanya hidup miskin. Ini akan membuatkan kau rasa tidak selamat dan mengalami kompleks inferiority terutamanya apabila orang melemparkan kritikan terhadap kau (Matluthfi, 2017:48).

Dalam buku Kisah 25 Filsuf Barat oleh Matluthfi, aku bersetuju dengan pendapatnya bahawa manusia itu mempunyai perbezaan cita rasa yang berbeza dalam memilih gaya hidup. Lanjutan dari hal Epikurus ini, Arthur Schopenhauer berpendapat bahawa, jika seseorang itu ingin hidup dalam keadaan yang cukup sederhana, setidak-tidaknya perlu mempunyai suatu apresiasi terhadap seni dan falsafah. Mengamati konteks seni dan falsafah dalam pengabadian kehidupan seseorang itu mampu menjadi penawar kepada persoalan nafsu hidup manusia itu sendiri. Setidaknya-tidaknya dengan melakukan pengamatan terhadap dua konteks ini, ia mampu membuatkan seseorang itu memandang dan memahami pergerakan dunia dan masyarakat. Apresiasi itu boleh jadi dalam bentuk menonton filem, membaca buku, mendengar muzik dan pelbagai lagi perkara berkaitan. Jika hidup sekadar memikirkan tentang bagaimana meneruskan kehidupan, Schopenhauer sendiri menyamakan manusia itu sama sahaja seperti binatang. Binatang memerlukan makanan dan habitat untuk meneruskan habitat lalu begitu juga manusia harus bekerja mendapatkan wang untuk makan dan minum serta membayar bil dan pelbagai kos yang lain. Definisi kegembiraan itu bukanlah suatu konteks yang boleh dirungkai secara objektif dengan formula tertentu seperti sains tulen. Namun dalam soal ini, aku cuba mengambil suatu pendekatan analogi mudah dalam bentuk aplikasi formula fizik agar dapat memberikan penerangan yang jelas kepada pembaca. Kegembiraan adalah suatu hal yang subjektif dimana keinginan dan kehendak seseorang diletakkan bagaimana pada dirinya.

Kesimpulan
Perhubungan antara sahabat merupakan suatu jaringan sosial yang cukup penting dalam mengecapai perhubungan yang baik dan jaringan sosial yang lebih baik. Apabila ada sahabat yang tinggal sekali dalam kelompok yang sama dan masing-masing melakukan pekerjaan mereka sendiri, kebarangkalian tersebut mampu menghasilkan suatu ‘cross over’ yang baik antara rakan-rakan yang ingin melakukan sesuatu aktiviti. Misalnya, Ali seorang pereka baju, dan si Abu seorang pemain muzik, maka mengapa tidak campuran tersebut dilakukan secara bersama dalam suatu penganjuran acara seperti pelancaran fashion show atau acara-acara gig?

Di Bangsar beberapa tahun lepas, terdapat sebuah rumah yang bernama Urban Village yang diasaskan oleh Azizul Abdul Latif dan Arwah Hasnizam Md Zaki. Dalam ruang rumah tersebut terdapat beberapa ruang meja bekerja dan masing-masingnya melakukan pekerjaan mereka sendiri seperti Ein Second Combat (Drug Free Youth), Adam Jalaludin (PeaceBeUponYou), Mohammad Fazlee (Moola) yang merupakan pereka design bagi minuman tempatan ‘Pop The Soda’. Jika diamati apa yang dianjurkan oleh Epikurus apabila bekerja dalam satu ruang yang sama dan masing-masing melakukan bekerja secara sendiri, Urban Village menepati idealisme Epikurus itu pada pandangan peribadi aku.

Bagi kegembiraan secara amnya pada hemat Epikurus, kita sememangnya memerlukan kebijaksanaan untuk merasai kegembiraan ‘gembira’ itu. Misalnya dengan melalui pengalaman jerih perit, kekecewaan serta kesedihan, ianya menjadi pemangkin kepada kegembiraan dan secara tidak langsung membangkitan satu perasaan untuk menghargai sesuatu perkara. Maka dengan itu juga, ia memberikan suatu pernyataan sebab yang relevan pada Epikurus bahawa perkara-perkara negatif yang bermain di dalam kepala tidak seharusnya dibuang begitu sahaja. Maksudnya di sini adalah sebagai stimulant dalam menuju kegembiraan. Namun, jika hal-hal negatif tersebut yang tidak membantu kepada kegembiraan diri, sememangnya halal untuk dibuang jauh.

Dan soal hubungan romantis yang aku bualkan pula di atas, pandai-pandai kau lah membuat pilihan.

Rujukan

Matluthfi (2017). Kisah 25 Filsuf Barat. Batu Caves, Selangor: Puteh

Press.Epicurus. Retrieved Sept 15, 2019, https://www.pursuit-of-happiness.org/history-of-happiness/epicurus/

Leave a Reply

Your email address will not be published.