Aks-aksi Eddie Vedder pada pelbagai peringkat umur.

 

Memori boleh jadi apa yang berguguran di bawah pohon benak, dikutip satu persatu, letak dalam baldi sebelum dikopek kulitnya untuk dinikmati. Isinya boleh jadi macam-macam bila dikopek; mungkin seketul kenangan tentang pen pertama dalam hidup, mungkin keping-keping perasaan saat pertama kali diserang angau celebrity crush, mungkin gugusan perasaan nostalgik bila terdengar sejenis rangkap muzik yang istimewa atau mungkin juga setandan perasaan sayu setiap kali terlihat makanan kegemaran rakan lama atau tidak mustahil juga ia boleh datang dalam bentuk beberapa raut wajah budak-sekolah-menengah-mudah-terhibur zaman praY2K yang rela dijamah uja; berbaring beramai-ramai menghadap televisyen di rumah kawan baik yang ayah dan ibu serta adik-adiknya pulang ke kampung dan ayah kawan terpaksa tinggalkan kawan di rumah kerana kawan bagi alasan kawan ada tuisyen atau apa-apa saja yang boleh buat ayah kawan bagi kawan kita duit poket tambahan untuk tinggal di rumah.

Selalu akan ada memori yang menawarkan pengalaman sinematik yang menarik dan vivid. Kita boleh pilih latar masa atau latar tempat yang kita mahu nikmati sendiri contohnya sekitar kawasan televisyen yang ketika itu terpasang dengan tayangan video VHS yang boleh buat kita rasa nak tiru aksi-aksi, persis anak kecil yang kemaruk berkungfu usai menonton rancangan Ultraman Ace. Nikmat itu memang akan selalu mampu untuk buat kita rasa ingin kutip memori-memori lain di sekitarnya. Seperti selepas kita pilih kawasan televisyen tadi, sekonyong-konyong datanglah memori saat pertama kali diperkenalkan dengan watak yang kita paling suka dengan bersebab.

Katakanlah memori seterusnya ialah tentang Eddie dan rakan-rakan Pearl Jamnya. Memori bagaimana kecil-besar-kecil-besar anak mata yang melirik pada setiap aksi pentas Eddie pada paparan televisyen menafikan rasa kantuk waimah sedikit terganggu dengan suara-suara kawan-kawan yang pura-pura buat suara garau vokal baritone berkuasa ikut lenggok nyanyian setiap kali sesi tontonan secara berjemaah adalah satu contoh memori indah.

Tiada banyak memori tentang berapa ramai yang boleh bernyanyi sing-a-long dengan lagu Pearl Jam setakat ini kecuali bersama gitaris Khottal dan yang terkini bersama Vials; Imran Norzain setiap kali mengendera bersama. Selain itu, ada suatu ketika dulu bersama slacker (tetap dan berpencen) Ipoh berwawasan dan pernah dinobatkan oleh majalah JUICE sebagai antara 20 wajah scenester terpenting di Asia Selatan bernama Mohd Jayzuan circa zaman Myspace; melalak pada bait melodi dan lirik ‘Black’ berdua di pekan Jasin. Pernah juga ada rasa teringin ber sing-a-long lagu-lagu Pearl Jam bersama punk tua yang dikenali ramai sebagai Anas Mohd; penulis sensasi asal Melaka suatu hari nanti memandangkan mutu suara beliau yang husky dan bassy ala penyampai radio RTM 80an itu. Tapi bila difikirkan yang beliau pernah menyarung t-shirt HIM, telahan yang paling hampir boleh dibuat ialah beliau bercita rasa Metal Scandanavia / muzik berat acuan negara-negara Nordic dan ini membuatkan keinginan itu patut diletakkan di tahap perlu difikirkan semula dan seharusnya keinginan tersebut juga perlu diusul dengan segala macam jenis perancangan strategik dan sangat berhati-hati; kerana semua orang tahu tentang dosa besar akibat menyakiti hati seorang penulis hebat.

Tentang suara baritone milik Eddie yang kita tahu mempunyai unsur husky dan bassy, kualiti suara jenis ini tidak begitu diangkat dalam kelompok peminat dan penggiat muzik alternatif 90an. Husky atau serak-serak basah sahaja mungkin ya tetapi tidak husky dan bassy. Kurt Cobain misalnya, memberi terjemahan husky paling mutahir pada penghujung alaf 20. Serak-serak basahnya ikhlas memberikan persona bersahaja sehinggakan dipersetujui oleh mana-mana media hiburan sebagai suara 90an yang bersuara untuk suara Generasi X dan selepasnya. Ini mungkin faktor utama mengapa Pearl jam dan angkatan Seattle yang lain seakan tenggelam daripada radar MTV. Mujur Kurt Cobain mati awal, sekurang-kurangnya tempias ombak glamour itu terpalit ke semua kugiran Seattle Sound.

Ya, kematian idola memang menyedihkan, tapi kematian jenis ini begitu dirai. Cara keraian itu pula  adalah pelbagai, boleh jadi juga meriahnya keraian itu dengan timbulnya pelbagai teori-teori. Tidaklah begitu memeranjatkan jika pada tahun 2017 ini ada yang masih beranggapan teori Courtney Love membunuh suaminya itu benar walaupun simptom depresif pada Kurt Cobain sangat jelas berbanding kes terbaharu yang terjadi pada Chris Cornell yang begitu berjaya disembunyikan. Tuhan maha adil, diberikan kita contoh realistik orang-orang keciciran sebegini memang betul-betul ada supaya kita mampu bertindak memilih perlawanan yang betul. Mungkin Plato tidak berfikir panjang bila dia menyebut tentang be kind since everyone you meet is fighting a hard battle kerana manusia jenis ini tak sepatutnya diberi pengecualian dalam isu melawan keciciran. Turut tidak terkecuali, termasuklah juga kumpulan manusia yang mempolemikkan antara Plato, Philo of Alexandria, Ian Mclaren dan John Watson; siapakah tokoh yang sebenarnya menyebut kata-kata be-kind-since-everyone-you-meet-is-fighting-a-hard-battle ini. Kepada mereka-mereka ini dan tak lupa juga pada pendukung idea flat earth, pendukung idea nada kunci A bukan pada 440hz dan juga para pembenci The Last Jedi sepanjang zaman, kemaafan memang telah diberikan kepada kalian sejak dulu namun tiada pengecualian dalam soal melawan keciciran.

Kematian selebriti idola amat memberi kesan kepada para penyanjung. Ada yang betul-betul tidak dapat menerima kenyataan tersebut lalu bertindak mencontohi pemergian selebriti idola mereka dan ada pula yang sanggup menderita bertahun-tahun meratap malahan terdapat juga kes pelik yang mana peminat bertindak menembak selebriti idola mereka. Idola adalah sumber inspirasi, ada yang setakat di poster, button badge dan pada yang heavy ada juga yang beriman dengan selebriti idola. Hal ini mengingatkan tentang ratapan secara berjemaah oleh peminat-peminat boyband Kpop; SHINee yang dikecam teruk oleh netizen baru-baru ini.

Sosok selebriti yang bernama Jonghyun merupakan salah seorang ahli kumpulan SHINee dan dia dikatakan memilih kematian tragik untuk mengakhiri alam fana. Mengikut laporan media antarabangsa yang berpusat di luar Korea, Jonghyun juga mempunyai isu berkaitan dengan kesihatan mental. Apa yang menarik ialah mengikut kata pengurus kugiran Khottal iaitu Cik Ili Farhana menerusi aplikasi Whatsapp sebentar tadi, kesedaran tentang depresi atau lain-lain jenis penyakit mental di Korea adalah berkadar sifar pada rata-rata golongan rakyatnya.

Penyakit berkaitan mental seakan taboo bagi rata-rata peringkat masyarakat rakyat Korea. Lebih menakutkan ialah media di tempat kelahiran genre muzik Kpop ini juga tidak lansung menunjukkan tanda-tanda keprihatianan mereka terhadap isu kesihatan mental para selebriti di Korea, walaupun kesedaran ini terwujud dan telah dizahirkan dengan penampakan kumpulan-kumpulan kecil selebriti Korea yang bertindak menyediakan support group sebagai usaha untuk combating depresi di kalangan selebriti Korea.

Tekanan demi tekanan ini terlihat di media sosial rasmi berikutan dengan pendedahan beberapa anggota SHINee sendiri beserta bukti screenshot bagaimana peminat Kpop di negara Korea mendesak mereka memberikan reaksi atas kematian Jonghyun. Mereka memaksa anggota-anggota SHINee untuk tidak berkabung sebaliknya menunjukkan rasa sedih mereka dengan turut meratap sejurus kematian Jongyun. Nanti akan sambung baca lagi tentang Jongyun sebab Cik Ili Farhana sudah berjanji untuk berkongsi pautan bagi pembacaan lanjut berkenaan isu ini.

Berbalik fasal Pearl Jam, kita patut kenang mereka sebagai bukan sekadar slackers yang ulung tetapi sebagai insan-insan yang bijak melakar kata pada struktur gubahan muzik. Kolektif ini bekerja dengan bersungguh-sungguh bagi menghasilkan banyak artpiece yang berbentuk word painting. Mereka jaguh dalam teknik penulisan muzik yang mampu memprojek makna lirik secara literal pada sesebuah lagu. Rujuk ‘State of Love and Trust’ ketika Eddie menyebut and the barrel shakes aimed a directly at my head yang mana ia betul-betul memandu suaranya di atas progresi kord oleh Gossard-Jeff-Mcready lalu mengizinkan kita semua merasakan sensasi pada setiap sebutannya. Jika contoh itu terlalu sukar, luangkan sedikit masa untuk dengarkan ‘Daughter’ pada minit ke 0:45 ketika Eddie menyebut the shades go down; sebutan down itu seiring dengan pergerakan kord G ke Em7 yang menurun dari nada tinggi-rendah. Banyak lagu bikinan Pearl Jam yang sangat mengasyikkan dan kadangkala diri sendiri merasakan agak kejam bila mereka membiarkan kita dihambat perasaan kekok melayan irama ala dad rock tatkala jiwa sebenar bernaung di bawah payung angkatan Sub Pop 200 yang rata-ratanya nihilis dan bersuara muda.

Eddie menunggang Pearl Jam untuk menjadikan kugiran tersebut sangat responsif pada isu sosial; ‘Jeremy’ tentang Jeremy Delle remaja 16 tahun yang menembak kepalanya di hadapan guru dan rakan kelas, ‘Breath’ pula menyentuh isu pengguguran bayi luar nikah dan ‘Daughter’ mengkritik masyarakat Amerika yang memandang proses pendidikan formal hanya perlukan pembelajaran selorong yang mana secara tidak langsung membunuh daya kreatif anak-anak. Eddie juga terkenal dengan gaya ‘abang-abang’nya yang secara tidak lansung menjadi jaguh dalam memperkenalkan amalan pogo secara bertanggung jawab. Hingga kemuncaknya bila Pearl Jam dituduh satu-satunya kugiran yang tidak mempunyai nilai moral berikutan insiden di festival muzik yang bertaraf ‘paling selamat’ di Eropah. Insiden Roskilde Festival yang melibatkan kematian 8 nyawa sewaktu Pearl Jam menutup acara dengan ‘Daughter’ betul-betul memperlihatkan kesungguhan Eddie dan rakan-rakan melawan kecaman dunia. Tak cukup dengan itu, seperti yang diberitakan tentang isu tahap Goliath Vs Goliath; kisah Eddie yang tak serik-serik melawan agensi Ticketmaster yang berakhir dengan kekalahan di mahkamah. Eddie riang berparti apabila berjaya menunjukkan dunia tentang cas tersembunyi yang diraih oleh agensi tiket gergasi Ticketmaster sekalipun kalah teruk.

Eddie bukan sekadar jaguh di ranjang pentas atau jelmaan-jelmaan terhebat menerusi semua hasil karya Pearl Jam dan projek solo serta beberapa projek koloborasi. Eddie jaguh sebenar. Ok, jika tak bersetuju dengan itu paling tidak pun Eddie berjaya memimpin Pearl Jam menjadi jaguh sebenar. Harus diingat jaguh akan tetap diangkat sebagai jaguh walaupun mereka sudah mati. Jaguh pergi meninggalkan yang baik-baik buat kita semua, tidak ada desas-desus kontroversi punca-akibat kematian. Jaguh sepatutnya tentang yang manis-manis sahaja.

 

Di kesempatan ini dengan suka citanya diri sendiri ingin mengucapkan selamat hari lahir yang ke-53 kepada Encik Edward Louis Severson atau seperti nama yang beliau sendiri suka; Eddie Vedder. Selepas satu demi satu pemergian ikon-ikon Seattle Sound, kita pasti tidak mahu Eddie sebagai satu-satunya frontman Grunge yang masih bernafas ini turut menjejaki cara kematian yang lain-lain.

 

Jaguh patut pergi dengan meninggalkan yang baik-baik buat kita semua, tidak ada desas-desus kontroversi punca-akibat kematian. Jaguh patut pergi seperti perginya Luke Skywalker dalam The Last Jedi. Jaguh sepatutnya adalah segalanya tentang yang manis-manis sahaja. Jaguh kawan kita semua, walaupun saya sendiri tidak pernah memiliki memori manis bermain hatta satu lagu pun buatan Pearl Jam.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.