Pelbagai gaya beluncas Hawk Moth.

 

Sangat bersyukur punya masa ke Taman Rama-Rama Melaka. Berpeluang mencerap perbezaan ulat beluncas dan ulat bulu beberapa minggu lepas adalah antara banyak perkara biasa yang boleh dibuat dalam usaha diri sendiri melawan tabiat overthinking. Melihat bentuk-bentuk penjelmaan beluncas dan ulat bulu sebelum menjadi rama-rama atau kupu-kupu ini bikin kita rasa kita ada dalam dunia yang bukan dalam dunia seperti yang ada dalam otak yang terlebih fikir.

Faedah terapi untuk elak overthinking akan mendatangkan sensasi-sensasi aneh pada setiap benda remeh. Kita akan cenderung untuk cari kebahagiaan pada sekecil-kecil kebahagiaan seperti kebahagiaan dalam ketakjuban mendengar bunyian air tin yang menjatuh dalam vending machine kerana ia mirip ketukan drums mengikut kronologi pada bass drum, tom, bass drum dan kemudian kembali ke snaire drum dalam tempo 200 beats per minute sambil kita ternganga bila dapat tahu vending machine adalah antara tempat yang akan menerima duit kertas sumpik selain bank dikala kebanyakan kedai tak mahu terima, atau kebahagiaan pada saat berasa hati tercuit tatkala tahu bau cawan styrofoam yang terbakar mempunyai sedikit unsur kemanisan wangian Mark & Spencer yang kita suka walaupun beberapa saat terawal bau itu macam rasa Kopi Vietnam yang diperkaya dengan aroma selipar Jepun terbakar. Kopi Vietnam adalah inovasi manusia-manusia keliru.

Ulat beluncas dan ulat bulu keduanya berbeza dari struktur fizikal dan habitat, ini merupakan ilmu baharu pada kita yang sebelum ini memandang enteng kehadiran makluk jenis Lepidoptera dalam dunia serba canggih. Dunia serba canggih ala kafkaesque yang serba membuai-laju-laju-hingga-cucur-atap ini kadangkala bukan saja masa makan pun terkejar-kejar malahan berfikir pun tak sempat. Macam kesibukan Poseidon versi Kafka yang dipenjara egonya sendiri. Tak macam ego kita yang runtuh sebab tertunjuk gaya terperanjat depan anak dan isteri bila terlihat beluncas Hawk Moth. Beluncas ini amat menarik perhatian kerana defense mechanisms yang tersendiri dan unik.

Beluncas Hawk Moth yang membuatkan diri ini terperanjat ialah beluncas yang mampu bertukar ke rupa bentuk ular tatkala merasakan ada ancaman berlegar disekitarnya. Ular yang garang tapi kontot hasil penyamaran Hawk Moth ini hanya akan terlihat bila beluncas ini membalikkan badannya 180 darjah ke belakang. Ternyata beluncas ini sangat faham tentang kaedah menakutkan demi mengelak diri daripada pemangsa dalam kitaran pemakanan. Beluncas Hawk Moth pandai menggunakan defense mechanism.

Kesan evolusi yang jadi solusi yang cukup bagus, defense mechanism ini akan menyebabkan pemangsa membatalkan niat untuk menjadikan beluncas Hawk Moth ini sebagai hidangan akibat takut dan terperanjat. Jika merujuk pada warna dan potong rupa bentuk beluncas Hawk Moth ini pun, ia mempunyai citarasa yang bagus. Mungkin beluncas Hawk Moth ini patut fikirkan feminis sebagai bentuk jelmaan bila berhadapan dengan manusia lelaki nanti.

Akan ada beberapa hal yang sentiasa membuatkan kita berfikir. Berfikir membuatkan kita terus hidup setiap kali menyelam ke dalam warna-warni kehidupan. Berfikir mampu bawa kita ke perenungan-perenungan yang bermakna. Dengan berfikirlah menyebabkan kita lebih hidup, bukan hidup yang menyebabkan kita lebih berfikir. Membezakan dengan persoalan ayam-telur-mana-yang-wujud-dulu, hal ini penting untuk membuatkan kita rasa yang berfikir juga perlu difikir-fikirkan.

Persoalan ayam-telur-mana-yang-wujud-dulu ini menjadi hal tentang mereka yang menolak evolusi. Persoalan yang bersifat ‘mati’ dan tidak intelektual. Diri sendiri merasakan beban bila memikirkan hal-hal senioriti menjadi pengukur tahap ilmu. Setuju dengan isi perbualan bersama Ahmad Saufie Jaffar poet sasau dari Peringgit dan punk tua bersuara bassy Anas Mohd sedikit masa dahulu; apa guna berlumba menghasilkan jurnal akademik dan digelar doktor serta segala macam gelaran profesional tetapi menjadi mainan autoritarian. Jika memahami evolusi memerlukan kemampuan untuk learn-unlearn-relearn, untuk memahami perkembangan pemikiran kita harus mampu untuk friend-unfriend-refriend ala logika Facebook.

Syed Alattas menyifatkan intelektual adalah manusia yang hidup dalam kalangan masyarakat, sedar tentang masalah masyarakat, menyuarakan masalah tersebut, dan mempengaruhi orang lain untuk mengambil berat tentang masalah masyarakat tersebut. Mempengaruhi orang lain ini ialah bagaimana intelektual memberikan reaksi-reaksi yang sepatutnya. Reaksi yang perlu untuk bersikap defensif. Ini mungkin boleh bawa kita kepada Defense Mechanisms Sigmund Freud.

Bila sebut pasal ayam-telur teringat keenakan telur puyuh, pernah juga terpana dengan Lai Chee Kang di Ipoh yang ada telur puyuh di dalamnya.

Ipoh memang istimewa. Ipoh dengan bual bicara seputar hidup-mati Indienya telah membawa diri ini ke sana untuk sesi lawatan singkat 2 hari semalam beberapa hari lepas. Ada acara di Khizanat. Acara yang bergaya dan sangat bagus dalam memperihal respon warga penggiat Indie. Kebagusan ini boleh diterangkan dengan tidak melihat sangat ekstrak bual bicaranya tetapi melihat secara holistik bagaimana kelompok ini merespon pada keadaan. Dengan mewujudkan kempen kesedaran terhadap hal-hal seputar scene Ipoh, scenesters menunjukkan mereka mempunyai defense mechanisms yang unik. Bagi kita yang faham, kita boleh tahu ini merupakan pilihan bijak, membawa segalanya ke tahap yang lebih tinggi. Mereka berforum bila rasa keadaan terancam. Ini sama halnya dengan aksi defensif makhluk jenis Lepidoptera bernama beluncas Hawk Moth.

Mungkin ketika itu panelis-panelis malam itu tak perasan, tetapi melihatkan gaya Karate Kid yang Mohd Jayzuan buat bila Syed Omar Syed Husin sebagai moderator mengeluarkan aksi Salt Bae sambil dua lagi panelis mempamerkan aksi semangat macam imam-memberikan-khutbah-di-mimbar-mimbar-masjid, ini menjemput rasa yang mengingatkan kita kepada kebahagiaan-kebahagian kecil yang kita rasa bila kita ada apresiasi pada benda yang kita buat untuk lawan overthinking. Ada sekitar 30 orang pada acara tersebut yang melibatkan scenester daripada pelbagai lapangan. Semuanya tak serik-serik untuk kekal relevan sebagai scenester tempatan di abad ke-21 dikala umum mentakrifkan scene dan generasi adalah obselete.

Defense mechanisms para scenesters di Ipoh ini sangat bagus. Defense mechanisms mereka ini mempengaruhi orang lain untuk mengambil berat tentang masalah masyarakat tersebut. Mereka hidup dalam kalangan masyarakat, mereka sedar tentang masalah masyarakat, mereka menyuarakan masalah tersebut.  Defense mechanisms mereka ini gaya para intelektual mengikut kata Syed Alattas.

Defense mechanisms adalah seperti pakaian yang nampak macam kurang memberikan impak penampilan tetapi kita tetap mahu pakai juga asbab tren. Tingkatkan kepekaan, bikin research fasal tren dan pakaian yang nampak macam kurang memberikan impak penampilan itu tadi akan datang dengan justifikasi-justifikasi pernyataan supaya pakaian itu tak nampak macam kurang memberikan impak penampilan. Penampilan kita adalah citarasa. Citarasa yang bagus datang bersama apresiasi dan apresiasi membawa kita kepada kebolehan untuk menikmati sensasi-sensasi aneh pada setiap benda yang menyerupai kebahagiaan walau sekecil-kecil kebahagiaan; seperti kebahagian tatkala disambar rasa riang melihat defense mechanisms penggerak Indie Ipoh bekerja.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.