Futej VHS milik Jojo

Tahun 1998, pasukan bola sepak Perak memenangi Piala Malaysia, gerakan reformasi, sukan Komanwel, LRT mula beroperasi, Dunhill di bawah paras 10 Ringgit dan pelbagai lagi perkembangan sosial yang berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia sebelum melabuhkan tirai era 90an. Beberapa hari lepas, saya singgah ke PBUY Studio yang terletak di Lebuh Cecil Rae, Canning Garden. Perasaan saya menjadi tak keruan, berdebar, teruja dan sebagainya apabila sedang memegang tape VHS yang mengandungi futej gig ‘Good Evening Ipoh’ pada 11 Julai 1998 bertempat di Dewan Bulan Sabit Merah, Ipoh. Headline gig tersebut adalah Butterfingers. Ya, Butterfingers. Kegemaran kebanyakan anak muda sebelum konsert Transcendence 20 tahun mereka yang bakal menjelang November ini di Stadium Malawati. Sebelum album Kembali (2008), Selamat Tinggal Dunia (2005), Malayneum (2001) dan Transcendence (1999), yang terlintas di fikiran saya adalah, bagaimana suasana gig tersebut sewaktu Butterfingers sedang bermain di bandar Ipoh ketika era lewat 90an? Bagaimanakah suasana crowd dan showmanship band pada waktu itu? Curiousity saya melonjak-lonjak dengan pelbagai pertanyaan.

Dari kemunculan band pembuka sehingga diakhiri Butterfingers, setiap crowd tidak henti untuk melakukan stage diving, mosh dan pogo. Tidak kira dari pelbagai penganut sub budaya, semua meraikan hari tersebut seperti hari raya dengan cara berpakaian, baik mat-mat Skinhead, Punk rockers yang berambut mohawk dan berjaket, mat-mat gerungey dan hardcore yang berbaju besar dan bersikat rambut tengah, kesemuanya saling meraikan antara satu sama lain tidak kira walau apa jua band yang berada di atas pentas. Melihat Karatz dan crowd yang sedang sing – a – long lagu Anarchy in The UK oleh Sex Pistols sambil berpogo dan ada yang melompat melakukan stage dive dari atas pentas sehinggakan pentas tersebut dipenuhi dengan crowd dan band itu sendiri tidak beberapa kelihatan serta ada juga yang mengambil mic stand yang saya tidak tahu apa dia nak buat, ianya benar-benar kemeriahan hujung minggu. Ada yang berehat dari kesibukan kerja, bersekolah dan acara gig tersebut seperti parti anak muda yang seperti tiada hari esok lagi. Pertama kali saya menonton Bloodymary adalah pada tahun 2009 sewaktu berusia 15 tahun di sebuah pub di Jubilee Park. Ketika itu saya ingin menonton Bloodymary tidak kira siapa line up yang membarisi band tersebut. Apabila kaset kompilasi Paradigm of 5 Kingdom (2002) mula-mula mendarat di rumah selepas abang saya pulang dari asrama pada hujung minggu, waktu itu jugalah kali pertama saya mengetahui Bloodymary serta dua lagunya Take Me To Her dan Beautiful Wednesday. Kemudian Chaise Lounge, Servent Jamm dan beberapa lain yang berada dalam album kompilasi tersebut. 10 tahun kemudian apabila melihat tape VHS ini, Brush Moistened adalah satu inspirasi bagi anak muda. Dia mungkin begini dalam erti kata lain “aku nak buat apa yang patut aku buat”. Melihat local homegrown seperti Herri Hamid, Syah Fayzal, Chain dalam satu pentas, adalah moment yang paling berharga melihat bagaimana proses organik muzik counter culture (baca: pada waktu itu) berkembang dari 90an hingga kini di bandar Ipoh. Herri Hamid kini bersama Bittersweet yang membawa elemen pop British, Syah Fayzal bersama Mosca Embassy dengan Emo Rock yang sebelumnya itu bermain dengan Elisebelle Tears, Chain yang masih menjadi vokalis Bloodymary, kita melihat bagaimana aliran muzik ini berkembang ke seluruh negara melalui ketiga-tiga figura ini. Melalui gig ini, Meor Shahiran (Muck) dan beberapa anggota label Bodysurf Music seperti Ducktoi, Mohd Jayzuan, arwah Syah Misery Records sudah pasti banyak sumbangan mereka dalam merencana acara-acara sub budaya di bandar Ipoh hingga apa yang ada pada hari ini dalam kalangan anak muda adalah sebagai satu pencetus dan diteruskan kegiatan norma counter culture ini pada generasi seterusnya. Menonton Tabaraka dengan lagu Selflocked dalam rakaman VHS tahun 1998 tersebut, membuatkan saya teringat kembali akan waktu pertama kali memegang album kompilasi Breaking Ground ketika berada di Tingkatan 1. Memetik kata-kata Harlan Boer dalam buku Lokasi Tidak Ditemukan – Mencari Rock and Roll Sampai 15000 Kilometer karya Taufiq Rahman, setiap lagu itu bagaimanakah ia cukup dekat dengan diri kita secara peribadi. Seperti dalam penceritaan ini, saya melihat album Breaking Ground adalah cukup signifikan dalam proses mengenali bagaimana proses organik muzik di bandar Ipoh ini berkembang. Tabaraka, Bloodymary dan Muck misalnya, ia adalah satu proses perkembangan dari akar ke dahan. Seperti suatu arkib penting dalam pembinaan struktur asas muzik bagi anak muda tempatan di bandar Ipoh. Kita mungkin ada pelbagai pengaruh yang cukup besar seperti Nirvana, Mudhoney, Earth Crisis, Discharge, Motorhead, Sonic Youth dan pelbagai lagi di barat. Dari segi mental, ya mereka cukup dekat dengan diri kita berdasarkan kandungan lirik dan lagu yang dipasang melalui kaset dan CD. Namun dari segi fizikal, kita terlalu jauh untuk melihat bagaimana proses sub budaya itu berkembang. Maksud saya, keberadaan kita di tempat itu. Jadi sejauh mana pengaruh muzik di Seattle, London dan Ipoh misalnya adalah soal perbezaan bagaimana pengaruh itu meresap dari segi fizikal dan mental dalam diri seseorang itu. Apabila berada di Ipoh, apa yang berada di hadapan mata itu adalah pengaruh secara fizikal dengan menonton acara-acara gig dan berbual bertukar pandangan.

Beberapa dari kita memilih untuk menculik beberapa music, beberapa musik memilih untuk menculik beberapa dari kita. Jika memang tidak, bagaimana mungkin ada orang-orang yang memikirkan music begitu banyak dalam hidupnya (Harlan Boer, 2017:V).

Jika Aristotle mengatakan bahawa seni itu adalah suatu proses peniruan atau mimesis, Harlan Boer pula menjustfikasikan kenyataan terebut berdasarkan kenyataan beliau dari perspektif muzik.  Apa jua muzik atau karya yang dihasilkan dari generasi sebelumnya, kita tidak dapat lari bahawa peniruan itu tetap bakal berlaku. Dari segi pengaruh, ia memainkan cukup besar dalam pembentukan acuan identiti sesebuah band itu. Oleh kerana itu, saya beranggapan bahawa apa yang dihasilkan oleh generasi terdahulu adalah satu percikan, pembentukan proses organik dan generasi hari ini dan seterusnya tidak dapat tidak lari dari acuan asal yang dibentuknya. Namakan apa jua genre sekali pun dengan pelbagai bunyi kontemporari yang diselitkan dalam setiap struktur lagu, kita barangkali akan mendengar “oh lagu ini dia ada macam bunyi band ini”. Andaian dalam setiap pendengar itu tetap ada. Kerana secara lazimnya, proses peniruan itu tetap berlaku. Seperti Kurt Cobain dan Nirvana yang menyusup masuk dalam jiwa anak muda era 90an, maka bertumbuhlah seperti cendawan beberapa band yang ingin menjadi seperti Nirvana, Mudhoney misalnya dari segi imej, showmanship dan bunyi-bunyian seperti Scandel 26, Bloodymary, Butterfingers, Ascetic dan beberapa lain untuk dinamakan.

Jadi melihat tape VHS Butterfingers bermain di Ipoh dan acara yang dikelolakan oleh Bodysurf Music pada tahun 1998, ia adalah satu keterujaan buat diri saya secara peribadi. Kerana secara tidak langsung, ia adalah khazanah futej yang penting dalam melihat bagaimana proses perkembangan sub budaya itu berlaku dari awal hingga kini di bandar Ipoh. Pelbagai gelaran yang saya dengar seperti membandingkan Ipoh adalah Seattle, Ipoh Indie Rock City dan pelbagai lagi. Namun jika di Seattle punyai Sub Pop, di Ipoh ada Bodysurf Music yang merancakkan lagi skena bawah tanah. Bagi yang menyamakan Ipoh seperti Seattle atau tidak, ianya terpulang pada pandangan yang subjektif itu. Tiada benchmark untuk diletakkan berapa tahap kemeriahan dan jumlah band yang ada di bandar ini. Namun jika kemeriahan itu pada tahun 2019 dan tahun-tahun akan datang berlaku seperti tahun 1998 tersebut, Ipoh tetap menjadi Ipoh dengan sumbangan percikan awal sub budaya oleh generasi terdahulu. Mengulas Butterfingers dalam rakaman VHS tersebut seperti lagu Royal Jelly, Fire Is A Curse dan Girl Friday, bagi sesetengah peminat, mereka cuma sempat mendengar melalui halwa telinga dari zaman persekolahan hingga sudah punyai keluarga. Namun melalui futej tahun 1998 ini, ia adalah mesin masa bagaimanakah Butterfingers itu di sebalik album Butter Worth Pushful (1997), 1.2 Miligrams (1996) dan demo 12 Goats, 6 Oranges and 2 Angels (1995) beraksi di atas pentas dan kesan-kesan lagu yang tidak mesra radio ini memberikan jiwa yang cukup besar buat anak muda pada era 90an. Emmett Ishak menjadi Kurt Cobain atau tidak, Butterfingers menjadi Nirvana atau tidak, perbezaan signature Butterfingers itu tidak boleh disangkal lagi dari segi alunan petikan gitar yang dihasilkan oleh Loque. Apabila melihat dewan Bulan Sabit Merah pada tahun 1998 itu dipenuhi crowd dari belakang pentas hingga pintu masuk dewan, bagaimana pula nanti suasana di Stadium Malawati? Bak kata Loque di status akaun facebook miliknya, ia seperti “mesin merentas masa”.

Super slackers now kiss my heart
Growing older is not my fault
In the garden city of lights

Rujukan

Harlan Boer (2017). Lokasi Tidak Ditemukan: Mencari Rock And Roll Sampai 15000 Kilometer. Yogyakarta: Elevation Books.

The Editors of Encyclopedia Britannica. Retrieved Sept 22, 2019, https://www.britannica.com/art/mimesis

4 thoughts on “Apa Yang Ada Dengan Tahun 1998?

  1. Zul Iqhmal says:

    nice shaufiq. Ternanti nanti juga ada artikel mcm ni. Baru org tahun scene ipoh dan Seattle ni lebih kurang hype nye. Teruskan bro

  2. Azizul says:

    Salam hi

    Mohon artikel ini di tulis dengan banyak perenggan,antara punca sebuah tulisan sukar untuk di baca adalah kerana tidak banyak perenggan,walaupun isi nya cukup bagus

Leave a Reply

Your email address will not be published.