Filem adalah sebuah karya visual yang paling akrab untuk kita nilai sejauh mana idea yang diletakkan oleh penulis mahupun pengarah ke dalam karya yang dihasilkan. Pendapat yang diberi oleh penonton adalah sesuatu yang subjektif manakala justifikasi yang mungkin lebih tepat adalah dari pembikin filem itu sendiri. Dalam forum Wayang Di Atas siri #01 memperlihatkan bagaimana lontaran fikrah pembikin filem disampaikan. Jika menonton ‘Sangsism’, durasinya cukup pendek namun isu yang boleh dikupas cukup luas. Apakah sangsi yang dimaksudkan oleh pengarahnya iaitu Iqbal Razak sendiri itu menuju kepada soal persepsi yang tidak tentu hala oleh individu terhadap individu yang lain? Sudah pasti apabila mengetengahkan terma ‘-ism’ itu secara tidak langsung telah menerbitkan sebuah perbincangan khusus – falsafah terhadap sesuatu perkara yang timbul. ‘Sangsism’ (2016) yang dilakonkan oleh Afiez Azienal adalah satira; kritikan sosial yang sesuai untuk ditampar ke muka manusia yang terlalu berfikiran secara binari atau absolute tanpa mengambil timbang tara dimanakah sesuatu subjek seperti yang dilontarkan ke dalam filem ini antara baik dan buruknya sesuatu subjek itu. ‘Sangsism’ adalah pencerahan yang paling mudah untuk kita mengkiritik dan kemudian melakukan penilaian semula dari masyarakat kepada masyarakat apakah di sebalik perlakuan sensitiviti bunyi beronani itu sebenarnya sedang melakukan sebuah kek coklat yang sungguh lazat dan keriangan untuk membuat kek berbandingan keriangan nikmat untuk beronani. Nikmat apakah yang didustakan manusia? Hanya jaringan gol persepsi.

Lontaran persepsi pula sentiasa berubah dalam pelbagai latar belakang masyarakat. Dalam memahami konteks jalan cerita, jawapannya bukanlah seperti sains tulen yang memerlukan anggaran dari sekian nombor atau ketepatan yang cukup jitu. Seni yang dibualkan dalam hal ini iaitu filem, memerlukan daya fikir yang cukup kritis untuk dilihat dari pelbagai perspektif. Apakah filem itu perlu dinilai secara keseluruhan atau membuka perbincangan dalam sesuatu isu sahaja yang berlaku dalam satu babak itu. Pada hemat saya, visual adalah pemahaman yang paling mudah untuk difahami. Barangkali jika di institusi pendidikan jika visual ditekankan sebagai kaedah pembelajaran, barangkali para pelajar akan membangkitkan pelbagai lontaran soalan ‘5W1H’. Secara tidak langsung, pemahaman mudah itu memberikan tanggapan yang cukup luas dengan jawapan yang cukup pelbagai.

Imagination (2014) yang diarahkan oleh Amir Anuar memperlihatkan pertemuan sepasang kekasih yang telah terputus hubungan selama tujuh tahun serta keinginan watak lelaki tersebut yang rindu akan masa silamnya dengan membelek sebuah buku foto yang mengingatkan akan dirinya yang lalu. Namun filem ini mengingatkan saya kepada filem 500 Days of Summer apabila diperlihatkan dua visual yang berbeza di antara expectation dan reality. Dinsman, sewaktu forumnya bersama Namron beberapa tahun yang lalu di Universiti Malaya yang pernah saya hadiri pernah mengatakan bahawa takrifan elemen terhadap sesuatu karya adalah kerja yang dilakukan oleh golongan akademik. Barangkali apa yang dilakukan oleh pembikin karya itu sendiri tidak mengetahui apa yang dilakukannya dan cuma melanggar sahaja tembok fikrah untuk membina sebuah cerita yang diinspirasikannya. Amir Anuar sebagai pembikin filem mengatakan filemnya bercorak realisme, namun apabila menyebut konteks sama ada mimpi ataupun bermimpi, saya mentakrifkan elemen filemnya sebagai surrealism kerana terlalu kuat elemen bermimpi di dalam filem tersebut di samping tajuknya sendiri iaitu Imagination. Lantas, elemen bermimpi ditonjolkan dengan kerinduan terhadap kekasihnya serta dengan belekan buku foto yang memaparkan gambar-gambar visual yang berunsurkan tidak rasional seperti berbogel di luar ruang privasi, ia memberikan suatu justifikasi yang cukup ampuh bahawa manusia punyai kebebasan untuk bermimpi atau melakukan apa sahaja yang diingininya namun di mana titik keterbatasannya berada. Sama ada rindu akan selama tujuh tahun yang hilang – merapatkan perhubungan yang terputus terjalin kembali atau menerima sahaja keadaan yang telah lama berlalu. Itu adalah realiti yang berlaku kepada mana-mana individu. Namun, pergelutan idea di antara surrealisme dan realisme di dalam filem ini hanyalah perbezaan dari segi naratif filem dan jiwa manusia sejagat.

Take Me to the Non-Breathers (2017) secara kasarnya adalah sebuah naratif yang menghubungkan antara dunia yang hidup dan mati. Diarahkan oleh Azim Rizal dan ditulis oleh Farid Rahman adalah sebuah filem New Wave yang memberikan perbezaan di antara ruang gerbang Dany’s Door yang membawa kepada pertemuan manusia yang telah mati dan halusinasi pengambilan dadah oleh watak Sam.  Secara harfiahnya, menembusi alam kematian adalah suatu hal yang paling eksistensial jika secara hidup. Signifikan Dany’s Door telah membuka ruang perspektif yang luas dalam membicarakan soal wanita, isu kemurungan yang membawa pengambilan dadah, eksploitasi dan pelbagai lagi. Namun dalam hal ini, penulis, Farid Rahman di dalam forum tersebut lebih mengangkat isu feminisme dalam keterlibatan dua watak perempuan yang menjaga gerbang Dany’s Door. Elemen Psikoanalisis Feminisme lebih diterapkan di dalam filem ini namun apakah ianya dari aliran pemikiran Freudian mahupun Lucanian yang digarap oleh penulis sendiri? Apabila elemen feminisme diangkat oleh penulis, secara tidak langsung pandangan terhadap kefahaman ini adalah persoalan terhadap penindasan, keadilan, kemandirian dan pelbagai lagi dalam kalangan wanita. Namun yang lebih ketara dalam konteks feminisme jika itu yang diangkat oleh penulis, sebagai penonton mungkin yang cukup ampuh adalah paparan kekuatan hidup secara berdikari antara kedua-dua watak perempuan tersebut.yang tinggal di dalam rumah sambil menguruskan perniagaan eksklusif gerbang Dany’s Door tersebut di samping sedang sarat mengandung. Konteks feminisme di dalam hal filem masih kurang untuk saya fikirkan di mana sisinya yang secara lebih meluas, namun pada pandangan secara subjektif, penindasan yang dialami oleh Sam adalah kemurungannya kerana sedang bergelut akan keseksaan dirinya yang kehilangan kembarnya yang dirindui. Mungkin di satu feminisme yang lain, barangkali di mana babak pertemuan perempuan yang sedang sarat mengandung itu menunjukkan elemen kesetian dna ketabahan hidup tanpa seorang lelaki di sisi. Jawapan kepada idealisme feminis yang dilontarkan oleh penulis, pada perspektif peribadi saya bahawa perlawanan tidak semestinya wujud bagi femnisme, tetapi bagaimana kemandirian untuk meneruskan kehidupan oleh seorang waita dan itu lebih menonjol di antara kedua-dua watak wanita di dalam filem ini. Soal terdesak memerlukan duit atau ingin membantu manusia mengembalikan memori mereka dalam pengembaraan ke dunia kematian oleh dua watak wanita tersebut, juga boleh ditakrifkan sebagai isu sosial. Namun disebalik naratif yang realiti, Dany’s Door tidak akan wujud tanpa pengambilan dadah untuk mencetuskan halusinasi. Walau bagaimanapun, filem ini mempunyai perspektif yang lebih besar dan luas untuk dibincangkan. Soal kesihatan mental, feminisme, isu semasa dan lain-lain lagi, kesemuanya dihubungkan secara tersusun dan mudah difahami, apakah yang dimaksudkan dengan Take Me to the Non-Breathers.

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.