Terkejuk beruk saya apabila sedar yang ini hari sudah mencecah 26 Disember. Macam tahun-tahun sebelumnya, kita semua biasanya akan tertanya, apa dah terjadi sepanjang tahun, dude? Ke mana hari-hari itu semua menghilang? Kemudian, macam video tape, kepala kita akan rewind segala apa terjadi sepanjang tahun; menarik, bosan, ups and downs dan segala macam lagi.

2017 adalah tahun kesihatan (kesakitan) untuk saya.

Beberapa hari sebelum jatuh sakit. Foto oleh Lara Hassan.

Kenapa tahun ini seolah-olah tiada aktiviti meriah daripada kem saya. Ada yang tahu dan mungkin ramai yang tak tahu, 2017 adalah tahun saya melawan kesakitan. Bermula sejak March hingga November saya berhentam dengan masalah kesihatan. Tidak pernah seumur hidup saya jatuh sakit seperti apa yang saya lalu tahun ini. Bak kata Pendekar Mustar, ini betul-betul, bukan cubaan.

Tiga kali saya masuk hospital; pertama kali pada hujung April dan kali terakhir November lepas. Sejak kecil saya memang amat membenci hospital, jadi bayangkan seksaan yang saya harus lalui sepanjang check in di hospital. Tiada apa pun perkara yang menarik tentang hospital kecuali Dr. Aisyah. Ehem.

Sepanjang sakit, ada masa-masa tertentu yang saya memang hanya terbaring dan tak mampu untuk bangun. Ini literal, bukan hanya perkataan untuk menambah simpati dalam cerita.

Badan saya susut, nafsu makan berkurang dan segala macam plan serta harapan saya hancur begitu saja.

Jadi semasa bertarung untuk terus hidup, saya telah melepaskan segala-gala yang telah saya bina dengan tangan kosong. Rumah penerbitan saya telah dilepaskan kepada seorang teman (yang kini dalam proses mengusahakan semula dan mengutip cebisan-cebisan yang tertinggal), art space saya; Khizanat telah diambil alih oleh Pian Shizuka dan Rumah Khizanat telah saya tutup. Sementara Projek Rabak sebagai gerakan seni dibiarkan floating dan saya fikir, tak perlu lagi untuk saya peduli tentang artis-artisnya (lagipun mungkin ini masa untuk mereka berdikari tanpa ada sesiapa di belakang). Saya harus peduli tentang kesihatan, itu paling utama.

Satu-satunya jawatan yang masih kekal pada saya ialah sebagai Penasihat untuk Cendana (salah satu inisiatif kerajaan mendanai projek-projek untuk seniman dan artis). Cendana adalah badan yang berurusan terus dengan pejabat Perdana Menteri dan khidmat serta pandangan saya hanya diperlukan apabila dipanggil bermesyuarat. Tiada waktu pejabat, tiada pakaian skema.

Entah apa ajaibnya, dalam melepaskan segala apa yang telah dibina, saya tak rasa teruk seperti apa yang dijangka. Saya fikir yang saya akan ditimpa kesedihan dan sentiasa terawang-awang teringatkan apa yang telah dicipta, tetapi semua itu tak kunjung tiba.

Saya kembali menjadi seniman dan artis sama seperti ketika pra Rabak.

Rutin harian saya kembali fokus kepada kerja-kerja yang saya selalu jalani sebelum munculnya Rabak. Saya kembali kerap mencipta; lagu, tulisan dan beberapa bentuk kesenian lain. Saya belajar bikin design dan menyunting filem–kedua-dua ini saya pelajari dalam hanya masa dua ke tiga hari.

Bacaan saya juga menjadi lebih lancar, dalam tiga minggu saya telah habiskan empat buah buku yang purata mukasuratnya 250 ke 450 mukasurat satu buku. Kembali menaip beribu-ribu patah perkataan setiap pagi, mula mencapai gitar dan selamba yaya menghasilkan karya. Ini marvellous!

Semua ini kembali datang selepas saya keluar hospital dan kembali dari Jakarta bulan lalu. Sepanjang sakit, tiada satu bentuk seni pun yang mampu saya hadam kerana otak saya terlalu letih untuk berfungsi dan menerima segala macam hal-hal kreatif dan kompleks. Apabila kembali aktif ini, saya kira ia perlu dirayakan dengan menghasilkan karya-karya.

Sudah lebih daripada dua bulan saya tak aktif di sosial media. Saya tak mahu tahu apa yang sedang terjadi di luar sana dalam usaha untuk mengembalikan kesejahteraan tubuh badan minda saya yang kronik ini.

Adam Jalaludin mengambil kesempatan dengan menawarkan saya menulis di sini. Setakat ini boleh saya katakan, di sini sajalah penampilan saya di dunia internet untuk jangka waktu yang entah berapa lama.

Saya kembali mengambil jemputan talk dan berforum yang kebanyakkannya berkaitan dengan hal yang amat saya gemari iaitu, youth culture.

Juga kembali dibayar untuk menjadi kurator festival dan write up atau artikel-artikel yang saya tulis.

Big up untuk semua circle of friends yang masih di sisi, kebanyakkan krew yang masih keep in touch tak putus bertanya khabar, kawan-kawan lama dan baru yang datang menziarah tak putus-putus.

Bulan lalu saya menghabiskan masa dengan beberapa orang kawan baik, menghabiskan masa bersama dan catch up apa yang patut; Scenester Veteran Jasin, Punk Filmmaker dan DIYpreneur–satu perkara yang sama mereka buat saya sedar adalah mereka ‘mengembalikan ingatan’ tentang siapa saya, di mana sepatutnya saya berada dan what’s my worth.

Seolah terjaga daripada mimpi ngeri, kemudian saya mula mengira-ngira dan sedar sebelum ini saya banyak jual lambak dan lelong. No wonder ramai orang mampu beli dan kemudian buang.

Ketawa berdekah-dekah saya hingga jatuh kerusi.

Satu hal paling positif tentang jatuh sakit; betapa banyaknya masa kembali dirayakan bersama kedua-dua orang tua saya. Most of the time sepanjang 2017, saya banyak bersama mereka. Menonton TV, ke pasar, melayan Gegarvaganza dan sessi-sessi minum petang di gerai-gerai kegemaran. Big Boss ambil my health dan berikan saya ini. What a powerful trade.

Dan satu lagi memori paling kool di 2017, sebelum jatuh sakit, saya kembali keluar bersama The Muse ketika dia pulang ke Malaysia selama 10 hari. Kami pergi ke restoran-restoran kegemarannya, menonton wayang dan melakukan aktiviti-aktiviti yang dah bertahun tak kami lakukan, dia buat saya kembali ada rasa nak bercinta dan angau pada dia. The best things about her; masih garang, witty and pretty.

The Muse menikmati Nasi Daun Pisang kegemaran. Look at her, tanpa malu bikin pose mulut ternganga and tetap so adorable.

Selain jus kreatif mengalir tanpa henti, saya mula belajar untuk bertani, mahu jadi petani. Dengan pertolongan kawan-kawan kampung sedari kecil, saya mula melawat beberapa ekar tanah milik keluarga yang orang tua saya tak mampu uruskan lagi. Kawasan yang bertempat di Jalan Simpang Pulai – Cameron Highlands ini berpotensi dimajukan dan di situ saya nampak masa depan.

Di Bukit Sinju bersama childhood friend, Ayen.

Setelah sakit, barulah saya lebih menghargai hidup.

Saya yang memang terkenal dengan seorang yang selalu memilih untuk menikmati hidup kini lebih tahu tentang harganya. Maka betullah keputusan saya sejak remaja dulu untuk tak mahu terikat dengan kehidupan konvensional.

Ya, duit sangat penting, bekerja itu wajib dan saya percaya kedua-duanya boleh dimiliki dengan bukan hanya satu jalan. Di saat ini, saya memilih untuk tak mengikut jalan yang sesak lalu lintas.

Duit untuk hidup dan bukan hidup untuk duit. Dan sekarang ada ubat perlu saya makan.

Jumpa di 2018!

Leave a Reply

Your email address will not be published.