Hamlet adalah berkisarkan seorang Putera dari Denmark, iaitu putera kepada Raja Denmark yang baru mangkat dan juga merupakan anak saudara kepada Claudius,iaitu adinda dan pewaris takhta ayahanda Hamlet. Claudius tergesa-gesa mengahwini ibu Hamlet, Gertrude bagi mendapatkan kekuasaan. Denmark pula telah sekian lama bertelagah dengan jirannya, Norway. Maka dengan itu juga akan dijangka barangkali pencerobohan akan berlaku yang bakal dipimpin oleh Putera Fortinbras, Putera Norway.

Kisah bermula pada suatu malam yang dingin pada musim sejuk di Elsinore iaitu istana diraja Denmark. Para pengawal di Elsinore iaitu Francisco sedang berada di kawasan istana tersebut. Bernado kemudiannya datang untuk menggantikan tugas Francisco bertanya kepada Franciso “siapakah di sana?” Francisco menjawab kembali dia berada di situ. Akhirya kedua mereka mengenali identiti masing-masing ketika dalam situasi gelap itu. Francisco pulang selepas itu untuk merehatkan dirinya setelah selesai melakukan tugasan mengawal di kawasan istana tersebut. Semasa dalam perjalanan, Francisco bertemu Horatio dan Marcellus. Kedua-dua mereka datang kerana ingin melawat Bernado. Bernado dan Marcellus berbincang  mengenai bayang-bayang yang telah mereka terserempak sebanyak dua kali itu di mana ia seakan akan suatu ‘bayang-bayang yang seram’. Tetapi Horatio cenderung mengatakan ini hanyalah fantasi semata-mata. Marcellus telah membawa Horatio bersama untuk melihat ‘detik masa pada malam itu’ jikalau hantu itu muncul sekali lagi untuk menakutkan orang. Akhirnya Hantu itu muncul,  dan seperti apa yang telah digelarkan oleh tiga orang saksi tadi, Hantu itu telah merupai persis mendiang Raja Hamlet. Mereka berhasrat untuk memulakan perbualan dengan hantu itu tetapi hantu itu seperti enggan. Ketiga-tiga mereka tersebut seterusnya berbincang mengenai politik Denmark, menyatakan Denmark telah memulakan persiapan ketenteraan kerana Fortinbras telah mula untuk mengancam Denmark. Hantu itu datang berkeliaran kembali. Apabila ia enggan berbual lagi, ketiga-tiga mereka tersebut bertindak menyerang Hantu tersebut dengan senjata tajam, dan menyebabkan hantu tersebut melarikan diri. Marcellus mengakui bahawa idea ini adalah tidak relevan dan menyumbang kepada keganasan. Malah hantu itu juga sangatlah kebal daripada apa jua serangan. Akhirnya mereka membuat keputusan untuk memberitahu Putera Hamlet bahawa hantu yang seakan rupa mendiang ayahnya telah muncul.

Ketika di dalam sebuah bilik di Istana, pelbagai Bangsawan telah datang ke mari. Claudius dan Gertrude berbual dengan Laertes mengenai perjalanannya yang akan datang ke Perancis bagi menyambung pelajarannya. Bapa Laertes, Polonius pula mahu beredar dari majlis itu. Claudius dan Gertrude pula  beralih kepada Hamlet. Mereka berdua gelisah akan Hamlet kerana sikapnya yang murung berterusan mengenai ayahnya yang telah meninggal dunia dan sikapnya yang kelihatan tidak menentu makin menjadi-jadi. Claudius dan Gertrude pula kemudian cuba menenangkannya kembali. Claudius memberitahu Hamlet bahawa setiap ayah akan mati pada bila-bila masa, tetapi Hamlet seakan tidak mempedulikan pujukan Claudius itu. Claudius menyarankan agar Hamlet menganggap dirinya sebagai bapa serta mengingatkan Hamlet supaya berdiri menyokong di belakang Claudius kerana Hamlet suatu hari nanti akan mewarisi takhta selepas kematiannya.

Apabila Claudius dan Gertrude beredar, Hamlet bermonolog dan dia berhajat untuk membunuh dirinya tetapi Hamlet masih berpegang teguh dengan apa yang terkandung di dalam kitab Injil. Dia menggelarkan dunia ini seperti taman yang tidak indah lagi. Dia mengadu bahawa ibunya terlalu cepat untuk melakukan hubungan sumbang mahram dengan adik iparnya sendiri dan beranggapan kasut perkahwinan terdahulu ibunya masih belum lapuk lagi. Horatio dan pengawal lain datang kepada Hamlet. Hamlet bertanya kepada Horatio mengapa dia meninggalkan Wittenberg (sebuah institusi reformasi bagi penganut Kristian Protestan). Kemudian mereka memberi tahu Hamlet mengenai Hantu yang berada di sekitar kawasan istana. Hamlet mempersoalkan mereka, dan mendapati bahawa Hantu itu kelihatan berjambang berwarna kelabu dengan rupa yang pucat. Hamlet menyatakan yang dia amat meragui mengenai Hantu yang berkeliaran di Istana ini dan bertekad untuk berjumpa hantu itu dengan matanya sendiri.

Claudius dan Gertrude menghantar dua rakan Hamlet iaitu Rosencrantz dan Guildenstern bagi menyelidiki jiwa dan sikap Hamlet. Hamlet menyapa mereka dengan baik tetapi mengesyaki mereka adalah pengintip. Pada malam itu, Hantu itu datang dan muncul kepada Hamlet dan memberitahunya bahawa Claudius yang membunuh dirinya dengan meletakkan racun di telinganya yang telah menyebabkan darahnya bergumpal dan kulitnya seperti merekah. Hantu itu meminta supaya Hamlet membalas dendam akan kematiannya dan Hamlet berkata ‘baiklah!’ sebagai tanda setuju. Hamlet kemudian memberitahu Horatio dan yang lain-lain bahawa walau aneh sekalipun kelakuannya, jangan pernah tunjukkan sebarang kelakuan mahupun reaksi dari riak muka bahawa mereka mengetahui tentang apa yang terjadi malam itu dan mereka harus bersumpah untuk menyimpan rahsia itu dan tidak berkata apa sekali pun.

Polonius merupakan orang kepercayaan Claudius dan merupakan seorang bangsawan yang berkhidmat di dalam istana. Anak lelakinya, Laertes akan melanjutkan pelajaran ke Perancis dan anak perempuannya, Ophelia sedang dilamun cinta terhadap Hamlet. Walaubagaimanapun, tiada siapa pun yang merestui kehendak Ophelia terhadap Hamlet; Polonius mahupun Laertes. Tidak lama kemudian Ophelia pun bertemu dengan Hamlet secara senyap tetapi Ophelia mendapati sesuatu yang aneh terhadap kelakuan Hamlet. Ophelia memberi tahu kepada bapanya, Polonius mengenai kelakuan aneh Hamlet itu dan Polonius membuat konklusinya secara melulu bahawa Hamlet sebenarnya kemaruk akan cinta Ophelia. Polonius memberitahukan hal ini kepada Claudius dan Gertrude. Hamlet seterusnya memarahi Ophelia kerana berkelakuan tidak sopan di hadapannya dan menyuruhnya untuk menjadi biarawati.

Hamlet seperti teragak-agak untuk mempercayai yang Hantu itu memberitahu kepadanya perkara yang sebenar. Kemudian, sekumpulan pelakon datang ke Elsinore dan memberikannya suatu idea untuk mengadakan suatu pertunjukan pementasan yang bertajuk ‘Pembunuh Gonzago’ dengan melakukan babak yang lebih kurang sama bagaimana ayahandanya mati dibunuh. Idea seperti ini dapat menentukan sama ada Claudius bersalah ataupun tidak dengan melihat reaksinya apabila menonton pementasan itu. Hamlet turut berfikir sepanjang pementasan apabila melihatkan pelakon yang yang mati dibunuh dengan racun melalui telinga. Claudius kemudiannya bingkas bangun pergi meninggalkan kawasan pertunjukkan itu. Hamlet melihat ini adalah sebagai bukti bahawa pakciknya,Claudius bersalah dalam hal pembunuhan ayahandanya. Getrude memanggil Hamlet ke kamarnya bagi meminta penjelasan. Dalam perjalanannya menuju ke kamar ibunya, Hamlet ternampak Claudius sedang bercakap dengan dirinya sendiri tentang kemustahilannya untuk bertaubat semenjak dirinya dirasuk dengan ketamakan harta, kuasa dan cita-citanya serta meniduri Ratu Gertrude yang telah beliau kahwini. Tiada ruang untuk berpatah balik dengan apa yang beliau telah lakukan. Claudius seakan-akan meratapi penyesalan dan melutut meminta pertolongan malaikat. Hamlet pula teragak-agak untuk membunuh Claudius selepas dia berdoa dan menyucikan dirinya dari dosa akan menyebabkan Claudius terus dihantar ke Syurga manakala roh ayahnya  terus dibiarkan merana terseksa.

Di dalam kamar bondanya, Hamlet sedang bertelingkah dengan Gertrude. Polonius sedang mengintip perbualan  antara mereka berdua sambil menyorok di belakang tirai dan tiba-tiba, Polonius terbuat bising. Apabila terdengar bunyi itu, Hamlet terus menikam tirai itu kerana menyangka ianya adalah Claudius. Hamlet kemudian mengalihkan langsir itu dan mendapati ianya bukan Claudius tetapi sebaliknya ia adalah Polonius. Menyedari akan kesilapannya itu, Hamlet sedikit pun tidak merasa bersalah malah mengucapkan selamat tinggal kepada Polonius dengan berkata “dengan nilai hidup yang rendah, kecoh serta menjadi penyibuk yang tiada fikiran relevan, aku ingatkan kau sesesorang yang penting. Kau telah dapat apa yang telah kau kehendaki dan aku merasakan adalah sangat berbahaya untuk menjadi seorang  penyibuk”. Hamlet kemudian menyuruh Gertrude untuk duduk dan cuba menenangkan hatinya. Hamlet seterusnya berkata kepada Gertrude, “jangalah engkau berketar dengan tanganmu itu, duduk dan biarkan aku mengetarkan hatimu dengan cukup lembut. Jika cara hidup yang kurang baik tidak memuaskanmu bersama, maka ianya akan bertentangan dengan segala perasaan yang ada. Hamlet kemudian memarahi Gertrude kerana berkahwin dengan Claudius hanya disebabkan seks. Hamlet percaya bahawa kewarasan Gertrude telah dipengaruhi dengan keseronokan dan neraka sahaja yang boleh menerima bondanya itu. Kemudian, Hantu yang berkeliaran di Elsinore muncul kepada Hamlet dan berkata kepadanya bahawa Hamlet masih lagi tidak membunuh Claudius dan telah menjengkelkan bondanya sendiri walaupun tidak disuruh berbuat begitu. Hamlet mengatakan bahawa dia ternampak Hantu yang seakan mendiang ayahandanya tetapi bondanya langsung tidak nampak mahupun mendengar apa-apa. Gertrude secara kesimpulannya mengatakan itu adalah bukti yang cukup bahawa Hamlet telah menjadi gila apabila Hamlet bercakap seorang diri. Hamlet kemudian beredar dan merayu kepada Gertrude supaya tidak mengadakan hubungan seks lagi bersama Claudius serta menyarankan Gertrude untuk berhenti dari tabiat itu agar lama-kelamaaan Gertrude akan terbiasa tanpa tabiat seksnya itu. Hamlet seterusnya menyorok mayat Polonius itu di sekitar kawasan lobi di istana. Claudius pula merasa gentar akan kebarangkalian ancaman terhadap dirinya. Maka, Claudius menghantar Hamlet bersama Rosencrantz dan Guildenstern  ke England dengan kiriman nota melalui dua orang rakan Hamlet itu untuk diserahkan kepada Raja England supaya Hamlet dibunuh serta merta.

Tertekan akibat kematian Polonius, Ophelia berkeliaran di sekitar Elsinore sambil menyanyikan lagu-lagu lucah. Abangnya, Laertes mengetahui akan berita mengenai berita keluarganya lalu pulang dari Perancis dengan perasaan berang terhadap kematian bapanya serta ketidaksiuman adiknya. Claudius membuatkan Laertes percaya bahawa Hamlet yang bersalah dalam hal ini. Tidak lama kemudian, Horatio dan Claudius mendapat surat daripada Hamlet bahawa dia akan pulang ke Denmark kerana kapal yang hendak ke England itu diserang oleh lanun. Claudius seperti dapat menghidu kembali bahawa Hamlet ingin meneruskan kegiatannya ini. Maka Claudius dengan serta merta membuatu suatu perancangan. Claudius mencadangkan untuk mengadakan satu perlawanan pedang antara Laertes dan Hamlet dengan meletakkan racun di hujung pedang Laertes. Kemudian rancangan alternatifnya pula ialah dengan meletakkan racun di dalam goblet yang mengandungi wain jika rancangan pertama itu gagal. Laertes akan diberi kesukaran pada perlawanan tersebut. Claudius pula mahu bertaruh atas Hamlet supaya sekiranya Hamlet mati, maka pembunuhan itu tidak akan kelihatan seperti dirancang. Kemudian, Gertrude datang mencelah menyampaikan berita sedih mengenai Ophelia yang telah mati lemas.

Dua penggali kubur berborak membincangkan bagaimana Ophelia mati membunuh diri. Semasa kubur Ophelia digali dan upacara pengkebumian pun hendak bermula, Hamlet tiba bersama Horatio. Mereka bergurau sinis dengan salah seorang penggali kubur tersebut yang mengorek keluar tengkorak seorang Jester dari zaman kecilnya yang bernama Yorick. Ini menyebabkan Hamlet menerima hakikat bahawa manusia tidak akan kekal selamanya. Upacara pengekebumian ini diuruskan oleh abang Ophelia, Laertes. Ketika di upacara pengkebumian ini, Laertes dan Hamlet bergaduh namun ianya dapat dileraikan. Hamlet mengakui bahawa, dia sememangnya sayang terhadap Ophelia selama ini. Apabila pulang ke istana, Hamlet memberitahu Horatio, “manusia perlu bersedia untuk mati kerana ianya tak boleh diduga”. Hamlet juga mendedahkan kepada Horatio bahawa dia telah menulis surat palsu yang kononnya daripada Claudius kepada Raja England yang mana telah mengarahakan Rosencrantz dan Guildenstern dijatuhi hukuman mati sebaliknya. Kemudian datangnya seorang pekerja istana mencelah iaitu Osric untuk memberi jemputan kepada Hamlet untuk berlawan pedang bersama Laertes. Dengan tentera Fortinbras yang semakin menghampiri Elsinore, pertarungan antara kedua mereka pun tetap berjalan. Laertes cuba menikam Hamlet dengan pedang beracun itu tetapi sewaktu bergelut dengan Hamlet, mereka telah tertukar pedang dan Hamlet mencederakan Laertes dengan pedang yang beracun itu. Disamping amaran daripada Claudius, Gertrude dengan tidak sengaja telah meminum wain yang beracun di dalam cawan goblet itu yang pada asalnya beertujuan untuk membunuh Hamlet. Di saat waktu Laertes sedang nazak, Laertes berbaik semula dengan Hamlet lalu mendedahkan kesemua perancangan Claudius. Pada saat kematiannya, Hamlet yang berang atas kematian bondanya telah berjaya menikam Claudius dengan pedang beracun itu dan kemudian memaksa Claudius untuk meminum kesemua wain yang beracun di dalam cawan goblet itu. Akhirnya Claudius pun mati. Horatio pula cuba membunuh diri dengan ingin meminum wain beracun itu tetapi Hamlet berjaya menepis tangan Horatio. Hamlet mengamanahkan Horatio untuk terus hidup dan supaya Horatio dapat memberitahu tentang kisah tragik ini dan kemudian, Hamlet membunuh dirinya sendiri. Apabila Fortinbras sampai ke Elsinore, beliau terkejut dengan apa yang terjadi. Fortinbras melihat suasana seluruh kawasan itu berlumuran darah terutamanya sekali seluruh kalangan keluarga diraja telah mati. Horatio menceritakan segalanya apa yang telah terjadi kepada Fortinbras. Fortinbras mengatakan akan diadakan suatu upacara penghormatan terakhir buat Hamlet sebagai wira yang telah gugur.

Leave a Reply

Your email address will not be published.