Penelitian semula perjalanan RF, saya boleh simpulkan ia berlaku sudah lama tanpa sedar, sejak sebelum saya mengenali medium fotografi. Banyak hal penting lain (ujian atau rahmat) yang perlu saya renungkan antaranya adalah bagaimana kerja bersama saudara Ooi yang membawa ke pertemuan dengan Adam Jalaludin. Kedua-dua orang ini adalah susuk penting sebagai penggerak komuniti kreatif di Ipoh sehingga sekarang. Selama satu bulan saya bekerja bersama saudara Ooi di banglo gunting rambut/cafenya 10 tahun yang lampau, pengalaman itu seolah saya sedang menjalani kem pengakap Moonrise Kingdom―saya diperkenalkan dengan pelbagai perkara penting kehidupan. Pada masa sama saudara Ooi juga selalu berkongsi tentang jenama pakaian terkenal atau pereka fesyen atasan yang boleh didapati dengan harga mampu milik di kedai-kedai pakaian terpakai termasuklah Helmut Lang, pereka fesyen kelahiran Austria itu. Malangnya, HL amat jarang dijumpai hanya insan yang terpilih sahaja boleh mendapatkannya. Mungkin boleh bertanya pada saudara Atid atau saudara Amran kerana mereka dikatakan memiliki ‘tangan sakti’. Seorang pengarkib terbesar HL, Endyma mempamerkan koleksi-koleksi sofistikated HL, bagaimana jenama itu membesar berevolusi dari sekian musim ke musim dengan setiap eksperimen ke atas rekaannya mempengaruhi sebahagian besar industri fesyen dunia. Antara koleksinya adalah tee putih ikonik COWBOY yang dicetak balik dari dalam baju tersebut (koleksi musim panas 2004) mempengaruhi idea percetakan fon RF.

Saya dan Adam berbincang bagaimana kami boleh melunaskan idea ini bersama jenama pakaian PeaceBeUponYou beliau. Cadangan awal adalah untuk kami guna kain baju Pagoda kerana tekstur kainnya yang nipis. Setelah difikir semula, ia terlalu mudah, malas dan murah. Jadi, Adam mencadangkan untuk menggunakan kain-pakai-semula sebagai tanda sokong kepada pergerakan melestarikan seisi alam yang semakin menua ini. Saya fikir, payah juga untuk cari tee putih kosong yang kainnya sesuai untuk dicetak dari dalam. Dengan kehendak (rezeki), saya dapati satu tee putih kosong oleh Jil Sander di sebuah kedai pakaian terpakai di ibu kota dengan harga yang berpatutan. Permulaan yang meyakinkan.

Berbekalkan semangat dan tenaga ini, saya teruskan pencarian tee putih kosong yang sesuai di sekitar Lembah Klang dan menjumpai sebanyak 24 helai dengan pelbagai jenama, saiz, jenis kain dan bentuk. Ini menjadikan tee PBUY bersama RF ini dikategorikan sebagai collectible item. Baju-baju tersebut telah kami rendam dan basuh dengan serbuk cucian pakaian bagi menghilangkan kekuningan pada baju supaya baju terpakai itu kembali semula ke keadaan hampir baru. Antara kegemaran saya adalah tee yang mempunyai jahitan bunga di lengan (rujuk gambar ke-3 daripada belakang). Soal gambar kempen pula, saya ditemani Aisyah Khairi melewati kembali pasaraya Super Kinta yang kian lesap dimakan zaman tetapi masih dipenuhi bunga-bunga mekar dan buah-buahan segar. Saya menyusun tee ini dengan bunga dan buahan yang ada seiring dengan konsep gambar yang terkandung dalam bukufoto Rekah Fajar.

Kesimpulannya, perkenalan saya dan Adam 10 tahun lampau membawa kami ke sini untuk bekerjasama dan mungkin juga untuk hal-hal baik yang lain.

Mengikut perancangan awal, baju tee RF bakal dijual pada tanggal 20 Disember 2023. Namun terdapat beberapa komplikasi yang tidak dapat dielakkan kami berganjak ke tanggal 27 Januari 2024.
           

PeaceBeUponYou adalah sebuah jenama pakaian dari Ipoh, ditubuhkan pada 2011 yang menggunakan kata-kata penaik semangat seperti Katakan Berita Gembira Kepada Mereka Yang Sabar, Good Things Come To Those Who Wait, Every Hardship Comes Ease, Patient=Prostrate, Hendak Seribu Daya Tak Hendak Seribu Dalih, Teruslah Senyum Kerana Hidup Ini Ditulis Oleh Pengarang Yang Maha Agung, dan lain-lain yang mengasyikkan.

Rekah Fajar adalah sebuah bukufoto mengandung 46 gambar hitam-putih; tentang sebuah perjalanan kedewasaan seseorang menuju ke puncak kehidupan―yang masih belajar untuk berbicara sopan, yang seperti kanak-kanak bermain enggan untuk tidur, yang sudah bersedia untuk mekar.

Rekah Fajar diterbitkan oleh Zontiga pada September 2023. Pembelian boleh dibuat melalui zontiga.com, direka letak oleh Adam Jalaludin.

Nota:

1/ Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan kerjasama ini.
2/ Terima kasih kepada supermodel Ahmad Shaufiq, Farah Nordin, Aisyah Khairi dan Adam Jalaludin.

 

Teks disunting oleh Api Husien

Leave a Reply

Your email address will not be published.