Jika berjalan di sekitar pekan Ipoh, hanyalah beberapa reka bentuk picisan bangunan kolonial yang kelihatan dan pada waktu malam, jalan-jalan di sekitar pekan Ipoh sudah mulai lengang dan kelihatan suram. Namun di sekitar Jalan Tawil Azhar, kemeriahan daripada kelangsungan kesuraman pekan Ipoh dilawan dengan kerancakan bunyi hiruk pikuk masyarakat pertengahan yang berniaga di sekitar jalan tersebut pada setiap malam, yang dikenali sebagai Gerbang Malam. Di suatu sudut Gerbang Malam tersebut, terdapat sebuah kedai yang menjual beberapa keping cakera padat, kaset dan juga piring hitam yang dikenali V9 Concept Store. Menurut salah seorang staf mereka yang dikenali sebagai Wan Billy, kedai ini sudah memulakan operasinya sekitar tahun 2002. Namun ianya hanya tertumpu dengan menjual peralatan aksesori lelaki dan t-shirt pada peringkat permulaan. Bermula semenjak tiga tahun yang lalu, beliau telah memulakan kerjaya tetapnya di kedai ini dan mula membawa pelbagai CD, kaset dan LP secara consignment daripada pelbagai distro di negeri Perak dan Kuala Lumpur khususnya.  Tambahnya, “Pada mulanya  saya selalu datang melepak disini dan para peniaga distro meletakkan CD mereka secara consignment dan  kemudian apabila saya masuk bekerja, saya terus menyambung membawa masuk barang-barang tersebut. Sekarang sudah tahun ketiga saya bekerja di sini. Kebanyakan pelanggan yang bertandang ke sini untuk membeli barangan DIY (Do-It-Yourself) kebanyakannya terdiri daripada kawan-kawan rapatnya. Terdapat juga pelanggan yang datang dari luar negeri Perak namun secara puratanya boleh dianggap sebagai regular customer. Rata-rata barangan DIY yang terdapat di V9 adalah bergenre Metal, Hardcore Punk, Grindcore, Powerviolence dan seangkatan dengannya.”

 

 

Tidak ketinggalan, beberapa piring hitam era 70an juga turut terdapat di kedai tersebut seperti Tom Jones, Lobo, Broery Marantika, Hail Amir, DJ Dave dan sebagainya. Menurut Wan Billy, kebanyakan peminat yang mendengar genre sebegini  rata-ratanya adalah golongan yang rajin membeli barangan DIY yang terdapat di kedai ini. Wan Billy yang merupakan gitaris kumpulan Powerviolence Terperosok dan kumpulan Grindcore Bahajang berharap agar penghasilan barangan baru dalam konteks DIY ini perlu berterusan bagi generasi baru untuk mengenal dan memahami budaya DIY kerana ianya akan menarik generasi muda untuk terdedah kepada beberapa band yang lebih baru. Dibuka pada setiap hari jam 6.30 petang dan ditutup pada jam 2 pagi, kedai V9 Concept Store ini sentiasa bersedia untuk disambut oleh seorang lelaki berkaca mata dengan layanan yang cukup ramah dan mesra.

 

One thought on “Spektakular DIY: V9 Concept Store

Leave a Reply

Your email address will not be published.