Menemui artis-artis yang mempunyai potensi besar sentiasa buatkan saya teruja. Ia macam terjumpa dengan Holy Grail, maybe. Sejak remaja lagi tabiat ini tak dapat dibendung–macam satu pencarian yang tak akan pernah sudah. Perasan macam Indiana Jones versi art.
Selesai membaca fanzine ‘Personull’ malam tadi, memori cuba berputar semula kepada bila kali pertama saya menemui penyajak sasau penulis fanzine yang baru lepas saya baca ini. Ingatan saya full stop di satu malam di satu venue somewhere di Melaka dan di situlah ianya bermula. Lebih kurang hampir 10 tahun lepas.
Kemudian, ianya habis di situ. Saya meneruskan kehidupan dan Si Sasau itu juga entah jadi apa. Tak peduli.
Beberapa tahun selepas itu kami kembali bertemu, kali ini hanya banyak di meja makan. Lepak berbual berborak kosong menghabiskan masa buat kelakar-kelakar–mengutuk orang dan hal-hal mulut jahat yang lain. Sehinggalah dia kembali membaca ketika tour Gustavo di Corm, Jasin pada tahun lepas.
Saat dia membaca, radar saya yang sensitif mula detect sesuatu. Kegilaan-kegilaan itu; yang sentiasa saya temui dalam diri artis-artis senget-mereng-sewel. Dan ini adalah perkara baik!
Artis yang tak betul adalah artis yang betul!
popi jaguh menggambar
momi pandai meliuk
denyar berpinar
aksi faham acara
selera lubang kaca
sebentar katup dan buka
popi habis menggambar
uplod ke fesbuk
habis momi meliuk
suntik vitamin remaja
ikut urat punggung bawa ke tengkuk
menolak darah senja sejuk
duo lunyai
ditodak likers
Apa kejadahnya budak gila ini cuba cakap dalam puisinya ‘popi&momi’ ini? Saya memegang fahaman, apa saja art yang buatkan saya temangu-mangu hilang kata-kata macam budak biol, ia sedang menyumbangkan sesuatu yang baik pada akal fikir saya.
Dia boleh juga menjadi seksi seperti contoh di dalam ‘lubang manis’;
tebing pipi bulat empuk
lubang tengahmu
kuberi jari
gulung sentuh lidah
mengisyarat malu
usai jilat
dan cairan jernih melekat
oleh donut hangat
Terlolong-lolong saya menjerit, “What the hell! What the hell! What the hell!” Saat selesai membaca puisi yang saya kira paling seksi pernah muncul dari scene sastera underground Melaka. Ini penyajak boleh jadi macam-macam, saya sangat menyarankan agar para wanita mengerumuni sosok ini.
Terkial-kial saya bertanya sekeliling pada kawan-kawannya, di mana lagi Si Sasau ini menulis. Saya mahu kesemuanya, mahu dikoleksikan dalam perpustakaan saya dengan harapan kalau dia mati muda, sekurangnya karya-karyanya bersemadi di kuburan buku-buku saya. Dan bila dikaji-fikir hal mati muda, Si Sasau ini boleh jadi lagenda instant kalau itu yang terjadi. Macam Ian Curtis.
Saya percaya seniman-seniman mati muda karyanya akan lebih cepat diangkat dan dipuja-puja.
Ah, tapi jika dia mati muda, bagaimana pula saya mahu terus membaca tulisan-tulisannya? Karyanya apabila makin tua pasti lebih kick ditambah dengan nyanyuk-nyanyuk yang bakal ada.
Scenester veteran Abdul Hafidz Adam telah tahu lebih awal yang saya mahu menulis tentang poet ini. Walaupun saya sendiri tak jelas apa yang mahu dikarang, tapi saya perlu, harus, malah mungkin boleh jadi wajib hukumnya untuk saya war-warkan kewujudan Poet dari Peringgit ini.
Ingat nama ini saudara-saudari awek-awek cunz sekalian, nama yang bakal mengugat si cute Aiman Tino, nama yang akan membuatkan pelikat-pelikat sasterawan terlondeh dan mengeleng-geleng kepala, Ahmad Saufie Jaffar.