Aku ternampak beberapa hari lepas di dalam group whatsapp Ipoh Aging Youth di mana Jay ada menghantar satu futej video yang memaparkan Hafiz Chai, Syah dan Ayiq dalam satu sesi jamming bersama. Apabila aku menonton futej video tersebut, lantaran aku jadi ghairah apa benda Joni Mustaf ini sebenarnya. Fakta menarik, Syah merupakan pemain dram bagi kumpulan grunge lewat 90an, Bloodymary dan Ayiq pula sebagai pemain dram kepada band indie rock yang lagunya masih menjadi siulan kerana liriknya yang begitu mudah dilagukan, Indie Rock Darling oleh Free Love. Manakala Joni Mustaf atau Mohd Jayzuan, adalah frontman bagi kedua-dua kugiran tersebut.
Tapi kali ini Joni Mustaf bukan lagi berada dalam versi Bloodymary atau Free Love. Joni Mustaf memperolehi suatu ruang untuk beraksi di pentas terbuka dengan penggayaan muzik Avant-Garde. Kalau Daniel Blumberg mempunyai harmonika yang ditiup secara rambang dalam lagunya yang berjudul Madder dan Minus, Hafiz Chai pula mengisi dalam ruang struktur lagu tersebut dengan bunyian bingit saxophone beliau. Syah dan Ayiq meletakkan paluan dram secara seiringan dan ini sekali gus menjadi spektakular yang baik dalam konteks muzik eksperimental yang aku lihat di festival Sama-Sama Riuh yang diadakan di Kinta Riverfront baru-baru ini. Jika aku menyentuh soal muzik eksperimental di Ipoh, kebiasaannya dalam kaca mata empirikal aku sering dijamahkan dengan bunyi-bunyian yang berasaskan pedal-pedal analog. Dalam erti kata lain sama ada Harsh Noise atau Drone seperti yang di bawa oleh beberapa artisan noise iaitu Hafifi Mokhtar, Nizar Nazri dan Rasyid Jalil misalnya. Tidak dilupakan juga, Kamal Sabran bersama Space Gambus Experiment yang menjadikan gambus sebagai utiliti utama dalam memuatkan Avant-Garde dalam dunia masyarakat Asia. Namun dari segi permainan secara instrumen, ini adalah sesuatu tunggangan yang baik dalam melakarkan kontur bunyi-bunyian Avant-Garde Jazz; dua dram, satu saxophone dan satu vocal echo yang dimainkan secara looping.
Dari era N’Dodo lewat tahun 60an dengan peralatan percussion, membawa kepada Glenn Branca pada era 70an dan Thurston Moore pada tahun 80an, ianya telah membawa kepada evolusi yang berbagai dalam struktur lagu dan nukilan bunyi yang dihasilkan oleh pemuzik eksperimental. Tidak boleh dinafikan bahawa seni itu adalah mimesis (baca: peniruan) kepada sesuatu objek atau subjek. Secara harfiahnya apa yang dipamerkan oleh Joni Mustaf pada persembahan Riuh tempoh hari sedikit sebanyak telah dilakukan oleh pemuzik-pemuzik jazz yang sebelumnya seperti Andrzej Trzaskowski pada tahun 60an. Namun dari perspektif senario muzik hari ini, aku melihat Ianya adalah satu perkembangan ke arah kepelbagaian muzik. Maksud aku di sini adalah kewujudan ekosistem. Kalau binatang, ianya rantai makanan di mana sesuatu hidupan itu memakan atau dimakan untuk meneruskan kehidupan ekosistem tersebut. Begitu juga muzik, pendengar akan disuap dengan pelbagai jenis muzik yang ada untuk menilai jenis muzik yang dijamah manakala pemuzik pula menghasilkan sesuatu lagu itu dengan mencampurkan pelbagai riff. Maka kepelbagaian tersebut akan meneruskan kelangsungan ekosistem muzik. Apakah yang aku pelajari daripada muzik dan persembahan Joni Mustaf tempoh hari? ‘Humans are interpendence’ di mana selagi seni itu masih memeluk kepada konsep mimesis, selagi itu juga corak muzik yang lebih kurang sama akan terus berulang walaupun dalam suatu rupa wajah yang berlainan di dalam garis-garis masa yang tertentu. Hal ini kerana manusia saling memerlukan antara satu sama lain untuk meniru dari suatu subjek yang lain lantas diterjemahkan kepada suatu subjek yang lain untuk menghasilkan sesuatu karya.